Kompleks Mahkamah Kuantan.

KUANTAN – Seorang peraih ikan mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kuantan atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan merbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja Alam Flora pada tahun lalu.

Teoh Kian Peng, 43, mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan, memandu dalam keadaan mabuk dan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian Irwan Herman Kamarudin, 41, di Jalan Kuantan Bypass, berhampiran Bukit Rangin pada jam 9.20 malam 25 Mei 2020.

Beliau dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bercagar RM20,000 dengan seorang penjamin, beserta denda RM8,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab Aziz juga memutuskan tertuduh perlu mematuhi syarat tidak boleh menyertai aktiviti berkaitan alkohol selama dua tahun.

Kian Peng juga diwajibkan melapor diri di balai polis pada Isnin pertama setiap bulan, selain lesen memandunya digantung selama lima tahun dengan butiran kesalahan dicatat pada lesen itu.

Peraih ikan tersebut didapati bersalah mengikut Seksyen 44 (6) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000.

Hakim menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Kian Peng kerana didapati memandu secara membahaya dan penjara dua tahun jika gagal membayar denda serta butiran kesalahan akan direkodkan dalam lesen milik tertuduh.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh mengaku telah memandu kenderaan secara melulu dan membahaya kepada orang awam di Jalan Kuantan Bypass, berhampiran Bukit Rangin, antara jam 9.10 hingga 9.15 malam pada tarikh yang sama.

Justeru tertuduh juga didapati bersalah mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Sementara itu, pada sesi penghakiman, hukuman ringan diberikan terhadap tertuduh dengan mengambil kira pengakuan salah tertuduh dan usaha perbincangan bersama dengan keluarga mangsa dilakukan atas inisiatif sendiri.

Pada 1 Jun tahun lalu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Irwan Herman.

Terdahulu mangsa yang maut selepas keretanya dirempuh kenderaan dipandu melawan arus di Jalan Kuantan Bypass meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan. – MalaysiaGazette