KUALA LUMPUR – Penonton akan kembali mewarnai kancah bola sepak tempatan selepas penyokong dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan di stadium mulai Jumaat ini.
Perkembangan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan semalam
Ismail Sabri berkata kebenaran itu diberikan selepas tiada lagi negeri yang berada dalam Fasa 1 susulan Kedah yang beralih dari Fasa 1 kepada Fasa 2 sekali gus menyaksikan beberapa kelonggaran baharu dibenarkan.
“Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung,” katanya.
Dua perlawanan Liga Super membabitkan pertemuan JDT menentang Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 2 April dan Kuala Lumpur City FC berdepan Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 3 April dijadikan sebagai projek perintis bagi kemasukan penonton ke stadium. – MalaysiaGazette