KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) telah mencapai keputusan secara konsensus mengenai pendirian perikatan itu mengenai beberapa isu.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat sebulat suara menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu.
“PN akan memainkan peranan untuk menyampaikan pandangan dan pendirian PN dari semasa ke semasa.
“Ia mengenai pelaksanaan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PN di Solaris Dutamas, di sini, hari ini.
Terdahulu Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat MT PN yang dihadiri semua parti komponen iaitu Bersatu, Pas, Star Sabah, SAPP dan Gerakan.
Dalam pada itu, mesyuarat juga membuat keputusan supaya beliau selalu Pengerusi PN menyampaikan pendirian berkenaan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang telah diambil oleh PN.
Menurut Muhyiddin, MT PN juga membincangkan pendekatan dan program yang akan dilaksanakan untuk menyantuni golongan muda.
“Ia selaras dengan pelaksanaan Undi-18 dan bersiap sedia dengan penambahan pengundi-pengundi muda dan baharu ini.
“PN sentiasa menghormati dan komited mendokong hak generasi muda untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini,” katanya.
Selain itu, katanya, MT PN juga telah membincangkan mengenai persiapan pilihan raya umum akan datang.
“Parti-parti komponen PN telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi-kerusi yang akan ditandingi.
“Ia meliputi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-Negeri akan dimuktamadkan dengan segera,” katanya.
Dalam pada itu, MT PN telah menetapkan majlis pelancaran rasmi parti itu peringkat kebangsaan pada November 2021.
“PN Negeri Selangor akan menjadi tuan rumah kepada majlis pelancaran itu nanti,” katanya.
Katanya, MT PN turut melantik Saiful Adli Mohd Arshad sebagai Setiausaha Eksekutif PN berkuat kuasa 1 Oktober depan. – MalaysiaGazette