Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN) menjelaskan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau mangsa kerana negara ini tiada Akta Dana Politik.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata dirinya terpaksa membayar kompaun sejumlah RM1.1 juta untuk bagi kes mahkamahnya disebabkan akta berkenaan tidak digubal.

“Saya adalah mangsa kerana Akta Dana Politik tidak diaktakan, mujur semalam saya dibebaskan dan dilepaskan tapi kena bayar kompaun,” kata Setiausaha Agung UMNO itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sebaik penjelasan itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (PH) bangun dan meminta penjelasan mengenai sumber wang yang diperoleh Ahmad.

“Boleh minta laluan, kalau Pontian adalah mangsa, kenapa bayar kompaun?” soalnya.

Mendengar celahan itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tidak memberikan Poay Tiong mencelah dan mengarahkan beliau duduk.

Tidak mengendahkan arahan Azhar, Poay Tiong terus mendesak agar Ahmad menjawab pertanyaan beliau.

Mendengar soalan itu, Ahmad berkata beliau ditawarkan untuk membayar kompaun.

“Saya telah ditawarkan kompaun, apabila saya ditawarkan kompaun pada Oktober 2019, saya lawan kerana ada yang dikompaun dapat RM50,000, dikompaun 50 kali ganda oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Saya rasa Langkawi (Tun Dr. Mahathir Mohamad) pada ketika itu pun tidak tahu tentang perkara ini. Ada orang yang terima RM100,000 dikompaun 25 kali ganda, maka saya lawan ketika itu.

“Tapi saya lihat lambat sangat proses, jadi saya mengaku kepada SPRM saya terima RM1.1 juta, saya tidak mengaku saya terima 2 (RM2 juta) kemudian saya tanya kepada Ahli Parlimen Pekan, dia mengesahkan saya terima RM1.1 juta.

“Apabila terima wang itu dan oleh kerana saya telah membayar kompaun maka saya lepas dan bebas. Itu keputusan mahkamah yang patut kita hormati,” jelasnya panjang lebar.

Ahmad selepas itu mengakhiri perbahasan beliau dan Dewan Rakyat dihentikan untuk sesi rehat.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan Ahmad dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan terhadapnya setelah beliau membayar kompaun mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan berikutan tertuduh bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta pada Selasa lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast