Sektor pembinaan antara industri yang mengalami masalah kekurangan tenaga mahir di negara ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa sektor pembinaan negara mengalami kerugian sehingga RM42 bilion sepanjang penularan pandemik Covid-19.

“Daripada jumlah ini, RM18 bilion adalah anggaran kerugian dalam tempoh PKP 3 yang bermula pada 1 Jun 2021 sehingga September 2021,” katanya ketika menjawab soalan dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

Beliau sebelum itu ditanya Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN) mengenai perkembangan terkini sektor pembinaan yang antara yang terkesan akibat penularan wabak pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, sektor pembinaan turut mengalami penurunan kadar pertumbuhan sebanyak 29.8 peratus dari tahun lalu.

“Sektor pembinaan mencatatkan penurunan kadar pertumbuhan sebanyak 19.4 peratus pada 2020 sementara pada suku pertama 2021, sektor pembinaan turut mengalami kerugian iaitu pada kadar 10.4 peratus.

“Bagaimanapun ianya telah meningkat pada kadar 40.3 peratus pada suku dua 2021,” jawab Fadillah lagi.

Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama-sama agensi dibawahnya termasuk Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Industri Pembinaan (CIBD) serta agensi pelaksana berkaitan telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama beberapa pemain-pemain industri.

Program itu bagi mendepani cabaran yang timbul serta mencari penyelesaian terhadap cabaran tersebut, jelas Fadillah.

“Antaranya adalah kenaikan kos bahan binaan, kenaikan kos upah pekerja terutamanya pekerja am disebabkan oleh keperluan pekerja mendapatkan vaksinasi lengkap, dan pekerja binaan yang terdiri daripada pekerja asing yang pulang ke negara asal, ketiga program rekablirasi tenaga kerja yang terpaksa ditanggung oleh kontraktor serta pengenaan syarat ketat bagi mendapatkan kelulusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette