KUALA LUMPUR – Kem skuad kebangsaan terus mendapat muka baharu apabila pemain sayap Kedah Darul Aman (KDA), Fayadh Zulkifli Amin dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Berita dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Fayadh menggantikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid yang dilaporkan tidak dapat menyertai kem latihan pusat kerana mengalami kecederaan.

Fayadh merupakan pemain yang sentiasa digunakan sebagai super sub oleh Kedah dalam saingan Liga Super di mana telah membuat 17 penampilan sebagai pemain gantian.
Dalam saingan Liga Super, Fayadh mencatat empat jaringan dan ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin menganggap pemain berusia 22 tahun itu sebagai senjata rahsianya.

Sebelum ini, dua pemain iaitu Muhammad Ariff Farhan Md Isa dan Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni dipanggil bagi menggantikan bek kiri Selangor, Syahmi Safari dan  pemain pertahanan kelab Denmark, FC Midtjylland, Dion-Johan Cools yang disahkan tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini kerana kecederaan.

Arif Farhan, Shahrul Nizam dan Fayadh Zulkifli melengkapkan senarai 24 pemain Harimau Malaya yang dipanggil untuk menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Jordan pada 6 Oktober 2021 dan Uzbekistan pada 9 Oktober 2021, kedua-duanya berlangsung di Amman, Jordan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast