Presiden Star, Datuk Dr Jeffry Kitingan.

KUALA LUMPUR – Ramai pemimpin terutamanya di Sabah semakin bimbang dengan provokasi berterusan oleh China dalam konflik perairan Laut China Selatan yang dilihat seperti tiada penghujungnya.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan mendesak kerajaan Pusat dan negeri untuk bersikap tegas.

Jelas beliau, tindakan biadap China itu amat serius dan kerajaan sepatunya sudah menyatakan bantahan keras secara berterusan.

“Ini merupakan satu pencerobohan di kawasan kita, kerajaan perlu suarakan bantahan secara keras kepada China melalui  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ianya dilakukan bersama Ahli Gabungan ASEAN.

“Laut China Selatan merupakan laluan kapal-kapal antarabangsa dan perairan Malaysia di Sabah dan Sarawak merupakan kawasan kaya dengan sumber asli seperti minyak dan gas jadi pada pandangan saya inilah antara motif dan agenda China sebenarnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob insiden pencerobohan perairan negara melibatkan kapal daripada China telah berlaku sejak tahun 2013 dan terdapat peningkatan aktiviti tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Jeffry berkata, kerajaan perlu memanggil Duta China di Malaysia untuk memberikan penjelasan berhubung tindakan provokasi itu serta menyatakan bantahan keras kerajaan terhadap isu ini.

“Perlu segera ambil tindakan dan gunakan semua saluran yang ada, saya takut sekiranya kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat mengambil tindakan kita yang di sekeliling ini habis.

“Ingat ya, ini bakal melibatkan implikasi antarabangsa, perlu segera menyatakan bantahan di Majlis Keselamatan PBB agar satu pelan tindakan dapat diambil,” tegasnya. – MalaysiaGazette