Datuk Seri Mahdzir Khalid full boarding school MARA Junior Science College MRSM Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar Perak punching bag bully bullies
Datuk Seri Mahdzir Khalid

PADANG TERAP –  Ahli politik yang terlibat dalam gerakan menukar kepemimpinan kerajaan Melaka dinasihatkan tidak tergesa-gesa bertindak melompat parti untuk mengelak krisis politik yang tidak berkesudahan.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, seluruh kepemimpinan parti politik membabitkan kerajaan dan pembangkang perlu menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani di peringkat Pusat bagi mengelak berlaku suasana ‘kelam kabut’ seperti yang berlaku di Melaka sekarang.

“Kita dengar titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong untuk kita menstabilkan keadaan politik, (supaya) membolehkan tumpuan kerajaan kepada pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi, kita dengar apa yang dititahkan itu agar wujudkan collaboration (kerjasama dalam politik),” katanya selepas majlis penyerahan bas baharu Mara Liner di Bengkel MaraLiner Kuala Nerang, hari ini.

Pada masa sama, Mahdzir mengingatkan ahli politik supaya memikirkan yang terbaik khususnya untuk mengekalkan kepemimpinan kerajaan negeri sedia ada yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali kerana Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin akan diadakan tidak lama lagi.

Sebelum itu, kerajaan Melaka dikatakan bergolak ekoran dakwaan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kerajaan sekarang difahamkan mahu meninggalkan blok tersebut.

Ekoran perkembangan itu, kerajaan negeri yang dibentuk hasil gabungan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan wakil rakyat Bebas pada Mac tahun lalu kini berada dalam krisis.

Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.- MalaysiaGazette