Datuk Bung Mokhtar Radin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Sabah memandang serius dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sikap keterlaluan China menceroboh perairan negara yang dianggap ancaman kepada negara.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Datuk Seri Bung Moktar pihaknya menyerahkan perkara itu kepada kerajaan Pusat untuk segera melakukan apa yang perlu memandang ia melibatkan keselamatan rakyat.

Jelasnya, apa yang berlaku sebenarnya sekaligus bakal menjejaskan industri seperti ekonomi dan perlancongan negeri itu.

“Bagi saya, ini satu perkara yang sungguh serius kerana ini bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya sudah sekian lama sehingga berlakunya begitu banyak pencerobohan di sempadan perairan negara yang melibatkan pulau-pulau kecil di kawasan berhampiran.

“Tetapi pada masa sama, saya lebih daripada percaya kerajaan pusat akan dapat tangani krisis dengan tegas dan cepat kerana ini bakal memberikan implikasi buruk kepada keselamatan dan ekonomi kerajaan negeri.

“Ia juga menimbulkan kebimbangan rakyat dan pelabur seperti perniagaan laut dalam, perlancongan dan sebagainya.

“Di masa yang sama, saya berharap agar pihak keselamatan seperti maritim dan TUDM serta semua yang terlibat untuk bersama-sama mempertingkatkan keselamatan di perairan dan sempadan negara ,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, insiden pencerobohan perairan negara melibatkan kapal daripada China telah berlaku sejak tahun 2013 dan terdapat peningkatkan aktiviti tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Abdul Rahman mengulas laporan beberapa portal pertahanan antarabangsa yang mendakwa terdapat sejumlah kapal Pengawal Pantai China menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Insiden itu berlaku selepas tidak sampai 24 jam TUDM melakukan latihan bersama Amerika Syarikat (AS) apabila dua kapal negara itu dengan kod CCG 5202 dan CCG 6307 bertindak biadab memasuki kawasan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti.

Jelas Bung Moktar yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional Sabah berharap agar kerajaan Pusat mendesak agar satu rundingan segera diadakan dengan semua pihak yang terlibat.

“Saya serah pada Menteri Luar untuk melihat dan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menanggani perkara ini. Perlu segera diselesaikan sebab kalau semua negara mahu tuntut boleh menyebabkan berlakunya kekacauan.

“Bagi pihak kerajaan negeri kami mengharapkan agar perundingan di peringkat antarabangsa dapat segera diadakan bagi mencari jalan peneyelesaian kerana perbalahan yang berterusan telah mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat,” tegasnya. – MalaysiaGazette