Foto Sky Sports.

LONDON – Manchester City bangkit dua kali untuk mengikat Liverpool 2-2 dalam aksi mendebarkan antara pesaing kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Anfield, awal pagi tadi, lapor Sky Sports

Penyerang sensasi tuan rumah, Mohamed Salah yang mempamerkan aksi luar biasa hampir memberikan kemenangan buat kendalian Jurgen Klopp menerusi gerakan menarik sebelum menjaringkan gol kedua.

Namun Phil Foden yang turut menampilkan prestasi mengagumkan memadamkan kelebihan jaringan pembukaan Sadio Mane sebelum Kevin De Bruyne menyelamatkan satu mata buat anak buah Pep Guardiola.

Bagaimanapun, perlawanan itu tercemar dengan kontroversi apabila Guardiola mempertikaikan beberapa keputusan pengadil perlawanan Paul Tierney selaib City turut membuat aduan berkenaan sikap penyokong Liverpool yang meludah kakitangan sokongan pasukan.

Insiden itu dikatakan berlaku selepas jaringan penyamaan Foden dan pihak tuan rumah sedang menyiasat dakwaan itu.

Liverpool yang belum tewas dalam saingan liga musim ini, ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Chelsea manakala City di tangga ketiga, dua mata di belakang skuad kendalian Thomas Tuchel. – MalaysiaGazette