Sebahagian murid Pendidikan Khas berjalan keluar dengan diiringi guru selepas tamat sesi pembelajaran pada pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, Shah Alam, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 OKTOBER 2021.

SHAH ALAM – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4 di sini menggesa kerajaan perlu membekalkan kit ujian pantas (RTK-Antigen) kepada guru bertugas.

Yang Dipertuanya, Ahmad Farkhan Ibrahim berkata, ia bagi memastikan mereka terlibat Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) tidak menjangkiti pelajar-pelajar dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) dengan Covid-19.

“Saya bagi pihak ibu bapa dan guru, saya rasa pihak Kementerian Pendidikan perlu lebih peka keadaan guru sebagai barisan hadapan di sekolah.

Yang Dipertua PIBG SK Raja Muda Seksyen 4, Ahmad Farkhan Ibrahim. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 OKTOBER 2021.

“Mungkin kita boleh melakukan pemeriksaan kesihatan berkala, bila habis waktu sekolah, guru-guru pun terdedah dan boleh dijangkiti bila-bila masa.

“Walaupun sudah mendapat vaksin penuh, saya minta KPM sediakan guru-guru kita diberikan kit RTK pemeriksaan berkala untuk saringan Covid-19.

“Kalau boleh lebih kerap lagi bagus,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Raja Muda hari ini.

Hari ini institusi pendidikan di bawah KPM di Lembah Klang dan Melaka mula dibuka selepas beralih ke Fasa 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam pada itu, Ahmad Farkhan berkata, sebelum sesi persekolahan dibuka hari ini, pihaknya telah mengambil inisiatif melakukan sanitasi sekolah bagi memastikan persekitaran sekolah bebas Covid-19.

“Sebelum pembukaan sekolah pun kita telah buat beberapa sanitasi, pembersihan kawasan sekolah sebab sekolah lama tak buka.

“Kita bersama pihak NGO sekitar Shah Alam yang sudi bersama dengan kita membantu sanitasi kawasan sekolah terutamanya di pra-sekolah dan pendidikan khas,” katanya.

Pelajar pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Raja Muda Shah Alam bergerak keluar dari sekolah diiringi guru bagi mematuhi SOP setelah kerajaan membuka semula institusi pendidikan tersebut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. Foto FARHAN MAHAMAD, 04 OKTOBER 2021.

Sementara itu, Ahmad Farkhan berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan di sekolah terbabit bermula awal pagi hingga waktu pulang.

“Keadaan kesihatan guru pun kita menitikberatkan. Bila ibu bapa dah hantar, guru-gurulah jadi ibu bapa mereka di sekolah.

“Kita tak boleh menafikan guru boleh menjadi salah satu penyebar Covid-19 , jadi keselamatan amat kita titikberatkan selain anak-anak permata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette