Kedai makan yang dipenuhi pelanggan berikutan penambahan pengunjung sempena gelembung pelancongan Pulau Langkawi di Pantai Chenang, Kedah. Foto HAZROL ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2021.

SELEPAS berbulan lamanya malap, sektor pelancongan kembali bersinar dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 3 September 2021 melalui pelan gelembung pelancongan dan Langkawi terpilih sebagai destinasi pertama projek rintis ini.

Sudah tentu bukan sesuatu yang mengejutkan apabila semua pakej pelancongan menerima sambutan hangat dan banyak hotel dilaporkan telah mencapai had maksimum tempahan dalam sekelip mata sejurus pengumuman dibuat.

Dengan berita gembira ini, pengusaha mula menyambung perniagaan dan begitu gembira menyambut kehadiran pelancong.

Sudah tentu pelancong juga sangat bersyukur kerana pada akhirnya mereka dapat menikmati kebebasan, makanan yang enak, pemandangan yang cantik dan masa bersama rakan serta keluarga.

Namun, tidak lama selepas pembukaan sektor pelancongan di Kedah, kita dikejutkan dengan video pendek yang menunjukkan lautan sampah dan dari situ pelbagai perspektif timbul serta dikongsi netizen melalui TikTok.

Wahai rakyat Malaysia, mari kita hentikan berdebat tentang punca dan renung diri sendiri.

Adakah kita akan dapat terus menikmati alam semulajadi? Adakah kita mahu generasi akan datang dapat menikmati keindahan lokasi-lokasi ini sama seperti kita?

Masa depan pelancongan terletak di tangan kita semua yang berkongsi alam semulajadi ini

Jadilah pelancong yang bertanggungjawab dan melanconglah dengan penuh tanggungjawab.

Setiap individu yang melancong itu merupakan pelakon kepada cerita di destinasi yang dilawati.

Jadilah pelakon yang mencipta akhir cerita yang membahagiakan untuk semua orang.

Tindakan yang sangat mudah iaitu menghormati alam dengan tidak membawa pulang sebarang benda dari destinasi dilawati, itu adalah tindakan yang bertanggungjawab.

Meminimumkan bunyi di tempat pelancongan merupakan tindakan yang bertanggungjawab.

Memastikan tiada sampah ditinggalkan adalah tindakan bertanggungjawab. Sekarang mari kita menjadi pelancong
yang bertanggungjawab!

Oleh: Dr. Leong Quee-Ling 
Profesor Madya di Fakulti Pengurusan Hospitaliti dan
Pelancongan (FHTM) Universiti UCSI