Datuk Seri Ab Rauf Yusoh
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

KUALA LUMPUR – Status dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka iaitu Datuk Seri Idris Haron (ADUN Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (ADUN Pantai Kundor) sebagai ahli UMNO digugurkan secara automatik.

Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mengesahkan perkara itu berkata, ia kerana tindakan mereka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah mengakibatkan kerajaan negeri Melaka runtuh.

“Apabila telah dinyatakan di dalam sidang media secara terbuka, mereka bersama-sama parti yang tidak bersama-sama membentuk dan meruntuhkan kerajaan, maka ianya secara automatik akan tergugur haknya sebagai ahli UMNO,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah yang turut disertai Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas mengenai tindakan keempat-empat mereka yang bertindak menarik sokongan disebabkan ketidakyakinan terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang flip-flop serta tidak dilaksanakan dengan sempurna, Ab Rauf berkata, perkara itu sepatutnya disalurkan pada mesyuarat Exco yang dihadiri mereka.

“Kalau nak ditegur, tegurlah dalam mesyuarat Exco Negeri dan mengambil langkah untuk bergabung dengan parti lain untuk memperbetulkan keadaan.

“Itu sesuatu yang tidak kena. Bagi saya mereka berada dalam jawatan Exco, maka hak untuk menyatakan apa yang diperkatakan dalam sidang media tadi mesti dikatakan dalam mesyuarat Exco,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkata, pihaknya menyerahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk membuat keputusan.

“Itu terserah kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sama ada nak dibubar atau tidak, dalam suasana ini kebijaksanaan Tun untuk mengimbangi kepentingan rakyat dalam waktu kita menghadapi suasana tekanan politik.

“Bila dipanggil saya akan pergi,” katanya lagi.

Kerajaan negeri Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) gugur apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi ADUN BN, Perikatan Nasional (PN) dan bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman berkuat-kuasa hari ini.

Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Surat pemakluman mengenai perkara itu serta peletakan jawatan Idris, Noor Effandi dan Norhizam Hassan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), yang bertarikh 30 September lalu diserahkan kepada Sulaiman di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, pagi tadi. – MalaysiaGazette