Kerja-kerja pembersihan sisa-sisa pepejal sedang dilakukan di lokasi utama saliran air di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengenal pasti 24 lokasi yang menjadi punca utama banjiryang berlaku sekitar bandar raya ini pada 30 September lalu.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman menerusi kenyataan media MBJB memberitahu, daripada jumlah itu, 18 lokasi hotspot  di bawah seliaan MBJB.
Noorazam (kanan) ketika mengadakan lawatan di salah satu kawasan terlibat banjir.
Manakala 6 lokasi hotspot lain  di bawah seliaan agensi kerajaan yang lain.
Sehubungan ini, MBJB telah merangka tindakan-tindakan penyelesaian yang akan dilaksanakan  segera melibatkan tindakan jangka sederhana dan jangka panjang.
“Pertama, MBJB telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan segera di lokasi terlibat dengan membersihkan halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama yang terdiri daripada sampah-sampah domestik, sisa pokok dan landskap dan lain-lain sampah yang dihanyutkan sewaktu banjir berlaku.
“Selain itu, MBJB juga telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan segera terhadap sisa runtuhan struktur dan tembok batu di beberapa saliran utama seperti di Kampung Melayu Majidee dan Sungai Chat, Kampung Md Amin.
“Kerja-kerja ini telah dilaksanakan secara manual dan menggunakan jentera berat seperti jengkaut dan kren bagi tujuan pembersihan sampah di laluan saliran utama,” jelasnya juga.
Manakala tindakan jangka masa sederhana yang telah dilakukan MBJB ialah memulakan proses penyediaan dokumen sebut harga dan tender untuk pelaksanaan kerja-kerja penggalian mendapan serta pembersihan di dasar parit dan saliran utama di dalam kawasan MBJB.
“Selain itu, kerja-kerja menaiktaraf di lokasi banjir yang tidak melibatkan kajian khusus akan turut dilaksanakan MBJB dalam masa terdekat,” katanya.
Berdasarkan lawatan yang dilakukan, MBJB memutuskan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dasar sungai dengan kadar segera bagi mengelakkan kejadian banjir berulang lagi.
Hasil pemerhatian pihaknya mendapati kejadian banjir yang berlaku pada minggu lalu juga disebabkan  projek pembangunan perumahan dan infrastruktur oleh pemaju.
Untuk itu, pihak pemaju telah diarahkan untuk membuat kawalan segera bagi memastikan kerja-kerja pembangunan yang dibuat tidak menyebabkan kelodak  sisa-sisa kerja tanah memasuki saliran utama sehingga mengundang kejadian banjir kilat.
Warga bandar raya Johor Bahru turut diingatkan untuk menjaga kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sampah sisa domestik di dalam  saliran utama yang boleh menghalang aliran air sewaktu hujan lebat, sekali gus memburukkan lagi keadaan banjir yang berlaku.
Empat hari lalu, Johor dilanda hujan lebat hampir sejam mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini dilanda banjir.
Antara kawasan yang terjejas dalam kejadian banjir pada jam 6 pagi itu ialah Kampung Melayu Majidee, Kempas Lurah, Taman Skudai Baru, Taman Johor Jaya, Kampung Ibu, Kolam Air, Kempas Denai, Kempas Permatang, Kampung Pasir, Kampung Laut Skudai dan Kampung Kangkar Tebrau.- MalaysiaGazette