Zoo Mini Teruntum masih ditutup sehingga kerja ubah suai siap sepnuhnya sehingga Disember nanti.

KUANTAN – Zoo Mini Teruntum yang dikatakan telah beroperasi pada 1 Oktober lalu masih belum siap pengubahsuaiannya bagi membolehkannya dibuka kepada orang ramai seperti yang ditularkan.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Kuantan, Norkamawati Kamal berkata, zoo itu masih ditutup sehingga kerja-kerja pengubahsauai selesai dilakukan pada Disember ini.

“Masih dalam renovasi, jadi kalau buka untuk orang ramai, banyak ruang tidak boleh masuk dilawati.

“Orang ramai diminta bersabar sehingga Disember nanti dan proses perbincangan dengan pihak penganjur bagi menyiapkan projek usahasama yang dirancang,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Jelas Norakamawati, memandangkan kemasukan di zoo itu berbayar, pihaknya perlu menambah nilai kemudahan infrastruktur bagi kegunaan pengunjung pada masa akan datang.

Tambahnya, Zoo Mini Teruntum yang terletak berhampiran Pantai Teluk Chempedak bakal muncul sebagai zoo hibrid pertama di dunia selepas projek edu-tourism naik taraf siap sepenuhnya.

“Zoo mini dengan konsep baharu ini menggabungkan elemen haiwan hidup dan haiwan animatronik pra sejarah seperti dinosaur yang mengadaptasi Teknologi Industri 4.0,” katanya.

Projek tersebut mendapat kolaborasi bersama Wegrow Global Sdn Bhd dengan pelaburan mencecah RM12 juta. – MalaysiaGazette