Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan gimik perasmian sambil diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (kanan) dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Aminuddin Hassim (kiri) pada Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 di Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya. Foto FARHAN MAHAMAD, 05 OKTOBER 2021.

PUTRAJAYA – Kesiapsiagaan bencana bermula dari rumah dan menjadi tanggungjawab setiap individu kerana semua orang mempunyai risiko terhadap potensi bencana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, semua pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab bersama yang bertepatan dengan tema Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 (BKN 2021) iaitu Keluarga Malaysia Siaga Bencana.

Jelas beliau, budaya kesiapsiagaan dalam kalangan rakyat perlu melibatkan kerjasama bersepadu semua agensi kerajaan bermula dari peringkat pusat, negeri dan daerah serta pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk orang perseorangan.

“Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 (Sendai Framework) menekankan bahawa pengurangan risiko bencana merupakan tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama, membudayakan latihan secara bersepadu,
terencana dan berkesinambungan.

“Semua rakyat perlu berusaha untuk memaksimumkan tahap kesiapsiagaan bencana bagi memastikan keselamatan nyawa diutamakan dan meminimumkan kemusnahan infrastruktur serta mengurangkan kerugian kepada masyarakat, industri, kerajaan dan negara secara keseluruhan.

“Kejadian bencana yang semakin kerap berlaku dan hadir dalam pelbagai bentuk mewajarkan kita untuk sentiasa bersiap sedia. Oleh itu, kesiapsiagaan masyarakat atau civil preparedness amat penting untuk diterapkan ke dalam Keluarga Malaysia supaya ianya menjadi satu budaya.

“Masyarakat perlu sentiasa bersedia dan bukan hanya mengharapkan bantuan agensi-agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan semata-mata ketika bencana berlaku,” katanya dalam satu kenyataan sempena BKN 2021 di sini hari.

Majlis pelancaran BKN 2021 telah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan gimik perasmian sambil diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (kanan) dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Aminuddin Hassim (kiri) pada Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 di Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OKTOBER 2021.

Mengulas lanjut, Ahmad Latiff berkata, sepanjang bulan Oktober ini terdapat 36 program dan aktiviti telah dijadualkan antaranya program Community Based Disaster-Risk Management (CBDRM), Webinar: Mengenali hazad dan bencana di dalam dan sekitar Malaysia, Forum Iklim Kebangsaan- Monsun Timur Laut 2021/2022 dan Tabletop Exercise (TTX) Pengurusan Bencana Bagi Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) 2021/22.

Menurut beliau, aktiviti dan program ini adalah anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama pelbagai jabatan, agensi serta NGO.

“Program berterusan dengan perancangan rapi dan kerjasama akrab di antara semua pihak sudah tentu akan dapat meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan dan memberikan natijah yang baik.

“Sehubungan itu, semua pihak diharap dapat memberikan komitmen yang tinggi selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pengurangan risiko bencana agenda penting negara dalam menjadikan pengurusan bencana lebih mampan.

“Pihak Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan lebih cekap dan efisien agar mangsa-mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak.

“Budaya kesiapsiagaan bukan hanya amalan pada bulan Oktober sahaja tetapi menjadi suatu norma berterusan sehingga kita dapat mencapai community resilience,” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad serta yang lain bergambar kenangan dengan agensi-agensi penyelamat yang terlibat pada Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 di Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OKTOBER 2021.