Kakitangan sibuk melakukan kerja-kerja persiapan di Laman Pengantin Zarlith berikutan majlis perkahwinan dibenarkan beroperasi semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 5 Mac ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) berharap kerajaan dapat memberi peluang kepada pengusaha industri perkahwinan untuk kembali beroperasi dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Presidennya, Zarinah Mohideen mencadangkan supaya jumlah kehadiran tetamu dihadkan di antara 200 hingga 250 orang iaitu 50 peratus daripada jumlah sebenar kapasiti dewan sehingga penghujung Disember ini.

Menurut beliau, kerajaan juga diminta untuk mempertimbangkan pelaksanaan SOP seperti yang dilakukan di restoran-restoran dan gelembung pelancongan Pulau Langkawi agar lebih seimbang dalam perkembangan ekonomi serta kelangsungan yang sama rata.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen.

“Jika ingin dibandingkan dengan keadaan semasa, setelah melihat perkembangan pelaksanaan gelembung pelancongan Langkawi yang menerima puluhan ribu pelancong dengan berulang alik menggunakan pesawat di mana keadaannya lebih sempit, kecil dan kawasan yang lebih tertutup jika ingin dibandingkan dengan keadaan dewan perkahwinan.

“Tidak lupa juga jika ingin dibandingkan dengan keadaan di restoran di mana masyarakat sudah mula menjamu selera di dalam restoran yang tertutup dengan kapasiti yang dibenarkan mengikut SOP tetapi bagi industri kami dan aktiviti sosial majlis berskala kecil masih lagi kekal dilarang beroperasi.

“Ini kelihatan sangat tidak setara dalam pembangunan ekonomi negara dan kami sebagai pemain industri merasakan kenyataan (Menteri Kesihatan) itu meluluhkan harapan kami untuk terus bertahan selain begitu tertekan dan terjejas teruk dengan keadaan tidak dibenarkan beroperasi selama hampir dua tahun,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu perkongsian di laman sosial Twitter menyatakan pandangan beliau dalam pembukaan dan kebenaran majlis sosial yang akan menjadi sektor terakhir untuk dibuka.

Dalam pada itu, Zarinah turut mempersoalkan bagaimana majlis korporat telah dibenarkan beroperasi dengan kadar 50 peratus kehadiran namun aktiviti sosial seperti majlis perkahwinan masih lagi dilarang.

“Kini dengan peralihan fasa di beberapa buah negeri, majlis korporat telah dibenarkan namun aktiviti sosial seperti majlis perkahwinan masih dilarang.

“Bagaimana keadaan ini dijadikan satu titik paras yang berbeza kerana kedua-dua aktiviti yang dinyatakan merupakan aktiviti yang sama dan tergolong dalam aktiviti sosial dan berkumpul di dalam satu tempat yang sama.

“Jika majlis korporat dibenarkan beroperasi dengan kapasiti yang telah ditetapkan, kami juga percaya aktiviti sosial seperti majlis perkahwinan dapat dilaksanakan dengan menggunakan SOP seperti yang guna pakai dalam majlis korporat,” ujarnya.

Katanya lagi, jika dilihat dalam statistik kes positif harian Covid-19, lebih banyak kluster diklasifikasikan sebagai berpunca daripada tempat kerja.

“Majoritinya adalah terdiri daripada tempat kerja yang lebih tepat merujuk kepada sektor perkilangan, namun sektor perkilangan masih lagi dapat meneruskan operasi mereka seperti sediakala tanpa ada sebarang sekatan dan larangan walaupun mereka diantara penyumbang terbesar dalam kadar stastistik kes postitif harian.

“Setelah hampir dua tahun terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, banyak pengusaha majlis perkahwinan terpaksa gulung tikar kerana tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk beroperasi dalam masa terdekat.

“Hanya dengan peralihan ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) barulah pengusaha industri perkahwinan akan dibenarkan beroperasi.

“Jadi persoalannya di sini bagaimana pengusaha perkahwinan hendak bertahan dan kekal dalam industri jika keadaan dan nasib kami masih lagi begini?,” katanya. – MalaysiaGazette