Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen bergambar selepas bercakap di sidang media mengenai krisis politik ketika di MITC Hotel, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 05 OKTOBER 2021.

AYER KEROH – Perikatan Nasional (PN) Melaka bersedia mengadakan rundingan bersama UMNO  bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pihaknya sentiasa bersikap terbuka namun keputusan untuk berunding atau sebaliknya terletak pada tangan UMNO.

“Kita terbuka menerima sekiranya UMNO Melaka ingin berunding dengan PN Melaka.

“Kita juga terbuka menerima rundingan atau mengadakan rundingan dengan UMNO Melaka untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRN kali ini,” katanya menerusi sidang media PN Melaka di Hotel MITC hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen bercakap di sidang media Perikatan Nasional Melaka mengenai krisis politik ketika di MITC Hotel, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 05 OKTOBER 2021.

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek dan Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

Bagaimanapun Mohd Rafiq berkata, maklum balas sama ada UMNO Melaka sedia berunding atau sebaliknya perlu dirujuk kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Itu hak UMNO, saya tidak boleh membuat keputusan bagi pihak UMNO kerana PN kita sedia runding tapi peringkat UMNO, media kena tanya Pengerusi Perhubungan Negeri, saya bercakap bagi PN Melaka.

“Saya sudah berunding dengan Pas dan Gerakan, kita bersetuju untuk berunding tetapi pendirian UMNO bukan kita tentukan.

“Sudah tentu kita dalam satu parti komponen PN (Pas, Gerakan) kita tidak akan bertembung sesama kita,” ujarnya.

Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Keputusan itu dibuat selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali telah mengutus surat kepada Mohd Ali memaklumkan empat ADUN telah hilang kepercayaan terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan Yang di-Pertua DUN, Datuk Ab Rauf Yusoh  dalam sidang media di Seri Negeri hari ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

DUN Melaka bubar, pilihan raya negeri bakal diadakan