Kajang Hulu Langat tahfiz centre madrasah bully bullies Mohd Zaid Hassan
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan. PIX: HAFIZ SOHAIMI / MalaysiaGazette / 28 JUNE 2021. Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan. Foto HAFIZ SOHAIMI, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Enam suspek iaitu lima warga asing termasuk suspek utama dan sorang warga tempatan yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang wanita warga Indonesia di Semenyih disambung reman enam hari lagi.

Keenam-enam suspek  direman sehingga Isnin depan, kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Menurutnya, kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang pagi ini untuk mendapatkan perintah sambung reman.

“Majistret telah meluluskan permohonan kami dan membenarkan keenam-enam suspek disambung reman selama enam hari lagi sehingga 11 Oktober ini untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru katanya, polis selepas akan melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan dan akan diangkat kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan pendakwaan di mahkamah.

Tempoh tahanan reman awal ke atas suspek yang berusia 40-an tamat hari ini selepas mereka direman sejak Rabu minggu lalu setelah ditangkap dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Bandar Baru Bangi.

“Hasil siasatan lanjut polis dalam kes ini, tiga daripada suspek adalah warga Myanmar, dua warga Pakistan dan seorang warga tempatan disyaki terlibat dalam pembunuhan mangsa di kedai makan itu.

“Dari tangkapan ini terdapat beberapa barang kes telah berjaya dirampas daripada suspek yang ditangkap iaitu telefon bimbit dan dokumen peribadi milik si mati, barang kemas, wang tunai berjumlah RM2,400, dan pakaian milik suspek yang mempunyai kesan darah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Tambah Mohd Zaid, hasil bedah siasat mayat mangsa yang diperoleh dari hospital mendapati punca kematian  disebabkan kelaran benda tajam di hadapan leher, belakang tengkuk dan tepi pipi.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal sebelum ini mengesahkan cinta tiga segi disyaki motif pembunuhan wanita Indonesia itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jika sabit kesalahan, hendaklah dihukum dengan hukuman gantung sampai mati.

Dalam kejadian pada 28 September lalu, polis menerima maklumat daripada orang awam menerusi panggilan MERS 999 pada pukul 7.33 pagi berhubung perkara itu.

Sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus mendapat aduan tersebut dan apabila pintu kedai dibuka dengan bantuan pihak bomba didapati seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 50-an telah meninggal dunia.

Wanita itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan diselimut dengan kain.

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, kali terakhir si mati dilihat adalah pada  25 September lalu ketika berniaga di kedai makan.- MalaysiaGazette