Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 64% dalam kalangan pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit Malaysia menyatakan syarikat mereka sedang meningkatkan perbelanjaan ke atas inisiatif-inisiatif kesejahteraan kewangan digital – iaitu peratusan yang tertinggi di rantau Asia Pasifik (APAC); lebih tinggi daripada Singapura, Jepun dan Australia.

Perkembangan ini menyusuli aktiviti permohonan lesen perbankan digital yang kini telah ditutup.

Bank Negara sedang membuat penilaian untuk memilih lima pemohon yang layak mendapat lesen berkenaan pada penggal pertama tahun 2022.

Oleh yang demikian, sektor perbankan runcit di Malaysia kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi persaingan dengan menawarkan pelbagai khidmat digital yang baharu buat para pelanggan.

Kajian Backbase yang ditugaskan kepada Forrester Consulting mendapati sektor perbankan runcit di Malaysia sedang menangani permintaan pengguna masa kini dan memastikan bank masih mampu bersaing di pentas digital dengan anggota-anggota yang baharu.

Para pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit yang telah ditemubual menyatakan 90% sedang merancang untuk atau sedang mengembangkan alatan pengurusan wang digital mereka secara aktif.

Manakala 88% telah merungkaikan mereka sedang merancang untuk atau sedang mengembangkan alatan pengurusan wang digital serta alatan kesejahteraan kewangan mereka secara aktif, dengan hampir separuh daripada mereka menyatakan bahawa ia adalah benar-benar mustahak.

Naib Presiden Serantau di Asia Pasifik bagi Backbase, Iman Ghodosi berkata, peluang bagi syarikat bank untuk membangunkan khidmat digital sendiri masih terbuka pada saat ini dan laporan yang terkini telah merungkaikan warga Malaysia sedang mendahagakan perkhidmatan seumpamanya.

Sebagai contoh, 67% pengguna yang telah ditinjau menyatakan mereka pernah menggunakan aplikasi mudah alih bank mereka, 87% pula menghargai aplikasi mudah alih yang mantap daripada pembekal perkhidmatan kewangan dan 82% menjalankan aktiviti perbankan harian mereka melalui telefon pintar.

Ghodosi percaya dalam tempoh enam bulan yang akan datang merupakan detik yang kritikal dalam arena perbankan digital.

“Rakyat Malaysia memahukan kualiti khidmat pelanggan dan fleksibiliti yang lebih tinggi bagi perkhidmatan kewangan yang mereka gunakan. Mereka ingin mengakses kewangan peribadi mereka pada bila-bila masa, di mana-mana jua, menerusi pelbagai saluran, dan dibekalkan dengan alatan yang asas untuk menguruskannya.

”Bank-bank konvensional mungkin akan kehilangan daya saing jika mereka gagal menginovasi dalam kadar segera,” katanya.

Bagaimanapun, kemajuan yang ingin dikecapi semestinya dibatasi dengan pelbagai jenis cabaran dan cabaran yang dihadapi oleh bank-bank Malaysia adalah antara yang terbesar di rantau APAC.

Daripada golongan pembuat keputusan dalam perniagaan perbankan runcit di Malaysia yang telah ditemu bual mendapati 74% kekurangan pemahaman mengenai keperluan pelanggan masa kini dan hasil yang ingin dikecapi menjadi halangan bagi syarikat mereka untuk melaksanakan atau melanjutkan lagi pembangunan alatan pengurusan wang digital.

Sebanyak 66% menyatakan teknologi legasi yang sudah ditelan zaman membatasi pelan mereka dan 64% mengakui kewujudan pelbagai cabang organisasi yang terasing menyukarkan lagi keadaan. – MalaysiaGazette