Kes harian positif Covid-19 bertarikh 6 Oktober 2021. Sumber KKM

PUTRAJAYA – Kes baharu harian positif Covid-19 di dalam negara terus kekal konsisten di bawah paras 10,000 kes pada hari ini.

Memasuki hari ke-empat berturut-turut sejak Ahad lalu, kes positif baharu setakat jam 12 tengah hari tadi menyaksikan sebanyak 9,380 kes direkodkan.

Pun begitu, angka tersebut naik sedikit berbanding sebanyak 8,817 kes semalam, sekali gus menjadikan kumulatif kes dalam negara berjumlah 2,303,837 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak masih kekal sebagai negeri paling tinggi kes positif Covid-19 iaitu sebanyak 1,503 kes dengan kumulatif 219,629 kes.

Manakala Selangor berada di tempat kedua dengan 1,116 kes dan kumulatif 684,768 kes manakala Johor sebanyak 1,105 kes dengan 201,939 kes kumulatif.

Diikuti Kelantan 1,170 kes dengan kumulatif 121,503 kes.

Sembilan negeri lagi merekodkan kes positif di bawah paras 1,000 iaitu Sabah (790),  Terengganu (704), Perak (629), Pulau Pinang (623), Kedah (556), Pahang (511), Kuala Lumpur (214), Melaka (200) dan Negeri Sembilan (191).

Tiga lagi negeri merekodkan kes positif di bawah paras 50 kes iaitu Perlis 42, Putrajaya (18) dan Labuan (8).- MalaysiaGazette