Senior Minister of Defence, Datuk Seri Hishammuddin Hussein at Kementah Camp, Kuala Lumpur. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 06 OCTOBER 2021. Melaka state election PRN
Senior Minister of Defence, Datuk Seri Hishammuddin Hussein at Kementah Camp, Kuala Lumpur. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 06 OCTOBER 2021. Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Mafi Prihatin Kepada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) di Kem Kementah, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diarah untuk mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung sebarang kemungkinan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau telah mengeluarkan arahan itu menerusi mesyuarat yang diadakan setiap minggu.

Katanya, SPR akan menentukan apa yang perlu dibuat dan dibawa kepada pucuk pimpinan tertinggi negara terlebih dahulu, namun, isu berkaitan prosedur operasi standard (SOP) perlu dibincangkan bersama dengan MKN.

“Saya sudah arah MKN untuk mendekati pihak-pihak berkenaan bukan saja SPR tetapi KKM dan mesyuarat-mesyuarat yang kita adakan berhubung kait dengan Covid-19 ini setiap mingggu melibatkan mereka yang semua ada kepentingan dalam apa yang kita putuskan untuk negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Hasil Sumbangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), di Padang Kawad, Kementah di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronlad Kiandee; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, pihaknya turut akan mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar berhubung kesan yang mungkin berlaku sekiranya PRN Melaka diadakan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan trend penurunan jangkitan Covid-19 ketika ini akan terganggu sekiranya pertimbangan teliti tidak dibuat sebelum memutuskan untuk mengadakan PRN Melaka.

“Kita sudah lalui situasi yang sama di Sabah dan kita perlu meneliti sebaik-sebaiknya kesan untuk mengadakan PRN.

“Kita tak mahu pertimbangan sementara atau semasa menjejaskan agenda nasional yang lebih besar iaitu memastikan rakyat selamat daripada pandemik Covid-19…jadi, kajian itu mesti mengambil kira apa yang kita terpaksa lalui dan hadapi daripada PRN Sabah,” tambahnya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terbubar selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Suleiman Md Ali.

Pengumuman pembubaran itu dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam semalam. – MalaysiaGazette