KUALA LUMPUR – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka semalam akan melihat bagaimana kerjasama setiap parti khususnya dalam gabungan kerajaan hari ini.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berpandangan, biarpun ia bukan langkah terbaik diadakan dalam waktu ini dan hanya akan memberi risiko dan ancaman kepada rakyat Melaka, tetapi paling penting pilihan raya ini akan menunjukkan hala tuju parti-parti di Malaysia.

“Apakah kerusi dibahagikan sesama mereka antara UMNO, Bersatu dan Pas atau bertanding sesama sendiri?

“Bagaimana kepemimpinan Pakatan Harapan (PH), di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim? Apakah akan bertanding atas tiket parti masing-masing atau lambang PH atau juga bertanding sesama sendiri?,” katanya yang dipetik di Faceobooknya.

Tambah Mohammad Agus, inilah masanya rakyat memilih wakil yang ada kredibiliti dan yang memikirkan kebajikan rakyat.

“Pilihlah calon sesuai yang dapat memberikan manfaat kepada rakyat, bukannya kepada wakil rakyat itu sendiri.

“Kuasa di tangan rakyat sekarang. Tunjukkan kuasa rakyat, ajar pemimpin dan Adun, apakah betul tindakan mereka selama ini atau sebaliknya?

“PRN itu melihat kepada keangkuhan pemimpin sekarang, biarlah rakyat kembali memilih wakil mereka yang betul,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pilihan raya akan memakan kos dan jika ia dapat dielakkan, wang tersebut boleh digunakan untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Pembubaran telahpun berlaku, terima sahajalah dengan hati terbuka dengan niat untuk kita memilih kerajaan terbaik dan meraikan demokrasi.

“Harapnya Covid-19 tidak merebak lagi. Jika meningkat lagi akibat PRN ini, janganlah lagi ada PKP Diperketatkan dan seumpama dengannya kerana rakyat sudah bosan.

“Saya tidak suka tindakan yang ‘double standard’, jika di beberapa negeri sebelum ini berlaku pertukaran kerajaan tanpa perlunya pilihan raya kecil, mengapa perlu di Melaka dalam keadaan kita baharu hendak lega dari ancaman Covid-19 ini?,” katanya.

Kata beliau lagi, krisis di Melaka tidak boleh disamakan dengan tindakan Gabenor Sabah membubarkan DUN selepas menerima nasihat daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana pada ketika nasihat itu diberi, beliau masih memiliki majoriti yang sah.

“Ramai juga yang tidak bersetuju dengan pembubaran ini kerana kita masih melawan Covid-19.  Sepatutnya yang berlaku ialah parti atau gabungan yang mempunyai majoriti diberi peluang untuk menubuhkan kerajaan baharu.

“Di Perak, Dun tidak dibubarkan apabila Menteri Besar Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membubarkannya.

“Jadi, apa perlunya diadakan PRN dalam keadaan sekarang tanpa memberikan peluang kepada majoriti PH-Plus membentuk kerajaan?,” jelasnya.

Beliau berkata lagi, tempoh pilihan raya hanya tinggal setahun tujuh bulan lagi.

“Tidak bolehkah kita tunggu tarikh itu?

“PRN ini adalah ujian bagi semua parti untuk menguji sokongan masing-masing dan di sini kita akan tahu bagaimana menteri dan parti dalam gabungan kerajaan Keluarga Malaysia berkempen,” katanya lagi.

Isnin lalu, Melaka digemparkan dengan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Susulan itu, semalam Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas berkuatkuasa 4 Oktober 2021.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan selepas Sulaiman mengutus surat kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka selepas empat Adun menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka kelmarin.

Adun-adun tersebut adalah Datuk Seri Idris Haron (BN- Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Semalam, UMNO telah mengeluarkan surat pemecatan Idris dan Noor Azman kerana melanggar perlembagaan parti itu. – MalaysiaGazette