SPR sahkan penerimaan surat proklamasi pembubaran DUN Melaka hari ini

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Melaka sah telah dibubarkan, maka Pilihan Raya Negeri
(PRN) Melaka akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari sekarang.

Ini berikutan hilangnya majoriti kerajaan Melaka apabila empat ADUN negeri itu telah hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Tidaklah saya ingin mempertikaikan keputusan tersebut kerana ia selari dengan Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka.

Namun begitu, situasi ini pernah berlaku pada tahun lepas yang mana cadangan untuk
membubarkan DUN Melaka telah ditolak Yang di-Pertua Negeri dan kerajaan Pakatan Harapan pun bertukar tangan kepada Perikatan Nasional tanpa pilihan raya.

Situasi kejatuhan sama, tapi keputusannya berbeza. Mungkinkah kerana aliran politik yang berbeza? Akal yang waras pastinya tertanya-tanya.

Jika diamati, situasi di Melaka kini juga hampir sama dengan situasi PRN di Sabah pada tahun lepas iaitu ketika keadaan pandemik Covid-19 hampir pulih.

Selepas sahaja selesai PRN Sabah selesai, kes-kes positif Covid-19 terus mencanak naik di seluruh negara apabila ahli-ahli politik selesai pulang ke negeri masing-masing.

Para petugas kesihatan pula terus terbeban dengan kemasukan bertubi-tubi ribuan pesakit Covid-19 ke hospital dan pusat kuarantin di seluruh negara. Bukan sahaja letih dan lelah, bahkan cuti barisan hadapan juga dibekukan.

Dengan adanya PRN Melaka, dibimbangi ia bakal melonjakkan semula kes-kes Covid-19. Kita tidak mahu mengulangi sejarah lonjakan seperti itu lagi di Melaka. Cukuplah PRN Sabah menjadi pengajaran buat kita.

Dalam situasi pemulihan Covid-19 kini, PRN Melaka menjadi batu uji kepada semua pihak agar benar-benar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Jika situasi ini tidak terkawal, baik di peringkat ahli politik mahupun rakyat, dibimbangi peristiwa tragis pasca-PRN Sabah akan berlaku lagi.

Lebih 2.2 juta sudah dijangkiti Covid-19, lebih 26,000 sudah meninggal dunia hingga kini. Tugas berat menanti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan kerjasama Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan PRN Melaka berjalan lancar tanpa pelanggaran peraturan dan SOP oleh sesiapa sahaja.

Andainya masih berlaku lonjakan kes positif selepas ini, nampaknya kita masih belum belajar daripada PRN Sabah.

Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia