Gambar hiasan

PETALING JAYA –  Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sepatutnya bertemu dengan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membubarkan DUN.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menerusi kenyataan berkata, berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali tidak layak menasihati TYT untuk membubarkan DUN selepas empat ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadapnya. 

“PH mengambil pendirian bahawa Yang di-Pertua Negeri Melaka telah membubarkan DUN berdasarkan nasihat yang salah dari seorang ketua menteri yang telah hilang sokongan majoriti ADUN.

“Apabila empat ADUN menarik sokongan terhadap beliau pada Isnin lalu berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri tersebut telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati TYT.

“TYT sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka serta bertemu dengan 15 ADUN iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan yang sama turut ditandatangani Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri  Wilfred Madiua Tangau.

Menurut PH, Ali Rustam telah melanggari duluan (precedent) bagi Melaka seperti yang berlaku apabila nasihat bekas Ketua Menteri Adly Zahari untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti.

“Malangnya tindakan TYT ini bukan sahaja telah melanggari duluan (precedent) bagi Melaka itu sendiri di mana pada 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu (Adly) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti malah ianya juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN,” kata kenyataan yang sama.

PH turut menyifatkan pembubaran DUN telah membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dianggap tidak sesuai untuk diadakan pada waktu pandemik.

“Majlis Presiden turut berasa kesal kerana tindakan pembubaran DUN Melaka ini telah membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri diadakan, yang boleh mengancam nyawa rakyat pada ketika pandemik Covid-19 belum lagi terkawal sepenuhnya,” tambah kenyataan itu.-MalaysiaGazette