Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan perjumpaan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berkaitan dakwaan pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan mengenai royalti pasir di Melaka.

Menurut SPRM, isu itu sangat serius dan mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan diminta tampil untuk memberi kerjasama kepada SPRM.

“SPRM memandang serius dakwaan tersebut.

“Ingin ditegaskan, kegagalan untuk melaporkan mana-mana salah laku di bawah Akta SPRM merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Idris dalam satu program bual bicara mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir.

Beliau mendedahkan, itu antara sebab mengapa beliau menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka. – MalaysiaGazette