Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik dengan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dari segi penguatkuasaan, SPRM memberi fokus kepada isu-isu ketirisan dana, isu kepentingan awam dan keselamatan negara.

“SPRM juga sentiasa mengemaskini teknik-teknik terbaharu dalam penyiasatan di samping menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak antaranya dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan isu rasuah dapat ditangani di setiap peringkat dengan lebih menyeluruh.

“Manakala dalam aspek pendidikan, SPRM menekankan usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan untuk bekerjasama dengan SPRM dalam memerangi jenayah rasuah kerana memerangi rasuah tidak boleh bergantung
kepada SPRM semata-mata”, katanya sewaktu sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi berkata, Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang diperkenalkan pada Januari 2019 sebagai aspirasi nasional telah mempertanggungjawabkan SPRM untuk
menerajui 11 inisiatif di dalam NACP.

Jelas beliau, antara inisiatif yang telah diperkenalkan bagi memperkukuhkan agensi penguatkuasaan ialah memperkasa SPRM khususnya dalam pelantikan Ketua Pesuruhjaya, peruntukan kewangan, jawatankuasa pemantau, penubuhan suruhanjaya perkhidmatan dan tenaga kerja.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat inisiatif-inisiatif lain yang telah diperkenalkan untuk menambahbaik perundangan agensi penguatkuasaan.

Antaranya ialah memasukkan peruntukan baru (on-going effort) dalam Akta SPRM 2009 (Akta 694) berhubung cadangan kesalahan-kesalahan baru melibatkan salahlaku penjawat awam yang menyebabkan ketirisan dan kerugian dana kerajaan secara
sengaja (MIPO-Misconduct in Public Office) dan selain peruntukan baharu (on-going effort) dalam Akta SPRM 2009 (Akta 694) berkaitan kesalahan oleh organisasi komersial atau seseorang individu dalam penjualan projek/ tender Kerajaan kepada pihak lain untuk faedah kewangan tanpa melaksanakan projek/ tender tersebut (BO-Beneficial Ownership).

Sementara itu, Wan Junaidi juga terlibat dengan sesi libat urus bersama-sama ahli Parlimen bagi membincangkan tentang isu MA63 dan Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan jawatan Timbalan Speaker yang ketiga diwujudkan.

Sesi libat urus itu diadakan dengan objektif untuk memberi penerangan tentang kepentingan bagi initisiatif itu diambil. – MalaysiaGazette