Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin (dua kiri) diiringi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil (kiri), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee (dua kanan) dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad (kanan) pada sidang media mengenai krisis DUN Melaka di Pejabat Presiden PKR, Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pemangku Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Nazrin Muizzuddin Shah digesa menasihatkan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam supaya menarik balik pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berkuatkuasa Isnin lalu.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, langkah itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Melaka dan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu mengambil kira perkembangan semasa kes Covid-19.

Petang tadi, dua daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu iaitu ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad telah menghantar memorandum di Istana Negara.

“Kedua-dua bekas wakil rakyat ini telah pun pergi ke Istana Negara jam 5.55 petang tadi untuk mengutus warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) memaklumkan mengenai keadaan di Melaka.

“Ia terkait dengan keputusan TYT Tun membubarkan DUN Melaka. Di dalam surat itu dinyatakan antara lain ialah beberapa pandangan termasuk meminta TYT Tun menarik balik pengisytiharan pembubaran DUN Melaka.

“Setelah kita teliti dalam Perlembagaan Melaka, tidak ada sebarang klausa atau peruntukan yang tidak membenarkan TYT Tun untuk menarik balik pengisytiharan tersebut.

“Keadilan secara prinsip memang tidak bersetuju dengan pilihan raya dilakukan apatah lagi PRN seperti mana yang berlaku di Sabah sebelum ini yang mana menyaksikan kes Covid-19 meningkat selepas PRN,” katanya pada sidang media di Pejabat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Gasing, Petaling Jaya malam ini.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin (dua kiri) diiringi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil (kiri), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee (dua kanan) dan bekas ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad (kanan) pada sidang media mengenai krisis DUN Melaka di Pejabat Presiden PKR, Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2021.

Pada Isnin lalu, empat ADUN kerajaan Melaka mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali

Selain Norhizam dan Noor Effendi, dua lagi ADUN ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor).

Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar juga menolak cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar YDPA mengisytiharkan darurat bagi menghalang PRN Melaka dilakukan dalam tempoh 60 hari dari tarikh DUN Melaka dibubarkan.

“Terdapat juga cadangan separuh masak daripada Presiden UMNO yang mencadangkan supaya dibuat darurat. Kita tahu bila darurat ini ianya tentu akan memberikan kesukaran kepada rakyat Melaka kerana kita tahu sekarang ini apabila pembubaran itu berlaku, tidak ada lagi kerajaan dan tidak ada lagi wakil rakyat.

“Yang ada hanya seorang care taker, belanjawan negeri pun belum dibentang dan dibuat, tentunya akan menyukarkan rakyat di dalam negeri Melaka.

“Sudah tentu dari segi prinsipnya Keadilan dan juga Pakatan Harapan (PH) akan sentiasa konsisten, tidak akan bersetuju dengan darurat ini,” katanya.

Shamsul Iskandar turut berhadap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengambil kira gesaan mereka  termasuk menghalang PRN Melaka dalam mesyuarat Kabinet yang akan diadakan esok.

“Saya percaya esok mesyuarat Kabinet dan kita harap jemaah menteri akan melihat apa yang kita nyatakan malam ini supaya ada ruang agar keputusan pembubaran dibuat dinilai semula.

“Seperti kita sedia maklum, sebelum ini peristiwa pertukaran menteri besar di Perak tidak berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Bulan lepas kita berhadapan dengan perubahan pucuk pimpinan Perdana Menteri dan di peringkat Persekutuan pun tiada pilihan raya.

“Ini kerana kita memikirkan tentang kepentingan rakyat dan memberikan fokus kepada pembinaan negara pasca Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua ADUN berpaling tadah hantar memorandum ke Istana Negara