Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – UMNO menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi mengisytiharkan darurat politik untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ini kerana situasi penularan wabak Covid-19 masih membimbangkan di negara ini, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, soal penangguhan PRN adalah satu perkara besar dan tanggungjawab Perdana Menteri untuk membincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, esok.

“Itu (proklamasi darurat) tentulah tanggungjawab Perdana Menteri dan terpulang kepada beliau. Perkara seperti ini amat besar dan tentunya akan diputuskan dalam Kabinet agaknya.

“Difahamkan esok akan ada mesyuarat Kabinet dan tentulah perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan. Kita tunggu keputusan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Kelmarin, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilapor menasihatkan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai Isnin lalu, dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas Sulaiman hilang majoriti sokongan, susulan tindakan empat Ahli DUN daripada blok kerajaan, menarik sokongan terhadap kepimpinannya. – MalaysiaGazette