SELAT Melaka dan Singapura dan Laut China Selatan telah, berdekad lamanya menjadi
laluan maritim terpenting dunia. Malaysia adalah salah sebuah negara penjaga untuk selat terpenting ini.

Selat Melaka dan Singapura dilewati 80, 000 kapal setiap tahun, dijuluki gelaran selat
kedua tersibuk di dunia setelah Selat Dover di Eropah.

Malaysia telah meluahkan rasa tidak senang bahawa AUKUS akan memperbolehkan
Australia untuk membangunkan kapal selam berkuasa nuklear menerusi perjanjian
keselamatan trilateral dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Wajarkah Malaysia bimbang akan perkembangan ini?

Regim Pelayaran

Selat Melaka adalah agak luas di kawasan utara menghadap Laut Andaman akan tetapi
mengecil ke arah selatan apabila ianya bertemu dengan Selat Singapura.

Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (LOSC) membenarkan Malaysia dan Indonesia
untuk menuntut wilayah laut sehingga 12 batu nautika di Selat Melaka.

Ini menyebabkan kawasan selatan selat tersebut terintegrasi sepenuhnya sebagai wilayah laut kedua-dua negara ini tanpa sebarang koridor zon ekonomi ekslusif (EEZ) ataupun laut lepas yang boleh ditempuh secara bebas oleh kapal-kapal asing yang melayarinya, sepertimana termaktub dalam Perkara 58(1) LOSC. Keadaan yang sama terpakai untuk Selat Singapura yang secara keseluruhan terletak di dalam wilayah laut Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Oleh kerana kawasan selatan Selat Melaka dan keseluruhan Selat Singapura adalah
sebahagian daripada wilayah kedaulatan Malaysia, Indonesia dan Singapura, kapal-kapal
asing, termasuk kapal-kapal perang tidak memiliki hak kebebasan pelayaran untuk
melayari wilayah laut milik ketiga-tiga negara ini.

Akan tetapi, LOSC membenarkan kapal-kapal asing untuk mengamalkan hak lintas
damai (the right of innocent passage) apabila melayari wilayah laut milik negara lain.
Perkara 19(1) LOSC memperuntukkan bahawa kapal-kapal asing tidak perlu memohon
kebenaran untuk melayari wilayah laut negara lain melainkan pelayaran tersebut boleh
membawa bahaya kepada keamanan dan keselamatan negara pesisir tersebut.

Dalam keadaan ini, negara pesisir tersebut boleh secara sementara menggantung hak
lintas damai ini ke atas kapal asing tersebut sepertimana disebut di dalam Perkara 25(3)
LOSC.

Adakah ini bermaksud bahawa Malaysia berhak menggantung hak pelayaran lintas transit
kapal-kapal tentera berkuasa nuklear yang melewati wilayah lautnya dalam Selat Melaka
dan Singapura jika keselamatannya terancam?

Menurut peruntukan undang-undang antarabangsa, jawapannya adalah tidak.

Walaupun sebahagian kawasan maritim di Selat Melaka dan Singapura adalah dalam
ruang lingkup kedaulatan Malaysia, bidang kuasa Malaysia sebagai negara pesisir untuk
mengawal selia kapal-kapal yang melayari wilayah lautnya adalah tertakluk kepada regim
lintas transit, bukannya lintas damai sepertimana diperuntukkan dalam Bahagian III
LOSC.

Regim Lintas Transit

Apabila LOSC lahir pada tahun 1982, konvensyen ini memperincikan bahawa regim
pelayaran istimewa hendaklah terpakai ke atas wilayah laut yang merupakan sebahagian
daripada selat untuk pelayaran antarabangsa, termasuk Selat Melaka dan Singapura.
Memandangkan Selat Melaka dan Singapura adalah selat utama yang menghubungkan
Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, kapal-kapal asing tertakluk kepada pemakaian lintas
transit yang mana, menurut Perkara 44 LOSC – tidak boleh diganggu-gugat, digantung
ataupun dihalang oleh negara pesisir selat.

Kuasa untuk menggantung pelayaran sepertimana termaktub dalam konsep lintas damai
tidak terpakai dalam wilayah laut yang merupakan sebahagian dari selat untuk pelayaran
antarabangsa yang mana lintas transit terpakai.

Dalam erti kata lain, sebagai negara anggota LOSC, Malaysia memiliki tugas untuk
memastikan bahawa Selat Melaka dan Singapura adalah sentiasa terbuka untuk pelayaran
antarabangsa dalam apa-apa keadaan sekalipun. Satu-satunya situasi yang mana Malaysia boleh bertindak ke atas kapal-kapal asing ini adalah sekiranya pelayaran kapal-kapal ini akan mengakibatkan atau boleh mengancam untuk mengakibatkan kerosakan besar-besaran kepada alam sekitar marin, seperti diperuntukkan Perkara 233.

Jika tidak, adalah menjadi kewajipan Malaysia untuk sentiasa memastikan wilayah
lautnya dalam Selat Melaka dan Singapura terbuka untuk pelayaran.

Kesimpulan

Australia telah menegaskan bahawa program pembangunan kapal selam berkuasa nuklear
ini tidak melanggar undang-undang antarabangsa. Australia tidak sama sekali membangunkan senjata nuklear tapi sebaliknya ingin menghasilkan kapal selam
bertenaga nuklear dengan teknologi yang dimiliki rakan-rakannya dalam AUKUS.

Oleh kerana Selat Melaka dan Singapura tertakluk kepada regim lintas transit, adalah
wajar Malaysia meluahkan kebimbangan.

Undang-undang antarabangsa meletakkan kewajipan ke atas Malaysia untuk memastikan
Selat Melaka dan Singapura ini terbuka untuk pelayaran antarabangsa, termasuk untuk
kapal-kapal bertenaga nuklear termasuk kapal selam.

Adakah pelayaran ini boleh mengancam keselamatan negara? Bolehkah pelayaran ini
menyebabkan pencemaran alam sekitar di Selat Melaka dan Singapura?

China dan India adalah dua negara Asia yang sudahpun memiliki kapal selam berkuasa
nuklear. Adakah rantau ini perlu sebuah lagi negara untuk membangunkan kapal selam
bertenaga nuklear bagi membawa keamanan di rantau Asia Tenggara ini yang
sememangnya tidak bergolak?

Sehingga soalan-soalan ini dijawab dengan seadil-adilnya, adalah tidak memeranjatkan
jika Malaysia dan jiran-jirannya tidak tenang bagai tidur di atas miang dek AUKUS.

Oleh: Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Dr. Mohd Hazmi juga adalah Felo Bersekutu Kanan di Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.

Dr. Izyan Munirah Zaideen adalah pensyarah kanan di Fakulti Pengajian Maritim,
Universiti Malaysia Terengganu.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here