Mohd Kassim, Mohd Kassim Abdul Hamid ayah kepada Allahyarham Muhammad Adib.

MENELUSURI kembali kisah anak kepada pasangan Mohd Kassim Abd Hamid dan Asma
Abdul Aziz iaitu Muhammad Adib Mohd Kassim, membuatkan kita semua yang
mengikutinya berasa sangat sedih dan kecewa sekali, berikutan kes itu telah ditutup baru-baru ini. Adib merupakan seorang ahli bomba yang berpusat di Subang Jaya, Selangor telah merancang untuk berkahwin dengan tunangnya, Nurul Najihah pada 21 Disember 2018 tetapi disahkan meninggal dunia selepas 21 hari dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana mengalami kecederaan parah.

Nama seorang Adib dikenali ramai setelah mendapat liputan akhbar akibat menjadi mangsa rusuhan kuil pada 27 November 2018. Tiba-tiba pada 2 Oktober baru-baru ini, YB Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu. “Kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib”.

Rentetan daripada keputusan yang diumumkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan
Komoditi itu yang menutup sementara kes kematian itu memusnahkan harapan keluarga
Allahyarham bagi menuntut pembelaan atas kejadian yang berlaku hampir tiga tahun lepas. “Saya terkejut dan sedih apabila dimaklumkan bahawa kes kematian Adib itu akan ditutup sementara dan hanya akan dibuka apabila terdapat bukti baharu,” kata ibu

Muhammad Adib, Asma Aziz yang turut tertanya-tanya mengapa kes tersebut ditutup sedangkan individu yang terlibat dengan kematian anaknya itu masih belum ditangkap. Ibunya turut mempersoalkan mengapa kes anaknya ditutup tanpa dimaklumkan kepada mereka sekeluarga terlebih dahulu. “Sepatutnya tanyalah pandangan keluarga dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Jikalau mereka tidak mencari pelaku kes ini, siapa lagi yang nak cari. Takkan saya sendiri yang kena cari?” soal Asma.

Keluarga Muhammad Adib tetap berharap pihak berkuasa akan terus melakukan siasatan
berhubung kes kematian tersebut. “Kematian Adib masih belum terbela menyebabkan ahli keluarga tidak berpuas hati sekiranya kes itu terus ditutup,” kata bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid. Menurut Kassim, sekiranya mahu tutup sementara tetapi dalam masa yang sama pihak berkuasa meneruskan siasatan, itu tidak apa, mereka tidak mahu kes ini ditutup terus.  "Saya harap pihak polis terus melakukan siasatan, jika ada (siasatan) mesti akan ada petunjuk baharu.”

Siasat sampai dapat!

Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) dalam satu kenyataannya turut
mendesak siasatan kes pembunuhan arwah Muhammad Adib tidak ditutup walaupun
sementara dan usaha perlu dilipat ganda bagi mencari keadilan. “Kenyataan menutup sementara kes seharusnya tidak dikeluarkan oleh seorang menteri, apatah lagi yang tidak berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang jenayah,” tegas Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Sehubungan itu, PPMM menzahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Zuraida yang
memaklumkan bahawa kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara. “Sewajarnya Peguam Negara atau Ketua Polis Negara yang mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan pendakwaan dan siasatan jenayah.” Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan menutup sementara kes kematian Muhammad Adib seperti yang dilaporkan beberapa hari lalu.

NGO tersebut turut mempersoalkan mengapa keputusan penting sedemikian dimaklumkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan bukan Kementerian Dalam Negeri mahupun Ketua Polis Negara. “Kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Ampang itu bukan sahaja mengejutkan rakyat, malah turut menidakkan keadilan terhadap keluarga Allahyarham selain menimbulkan banyak persepsi,” kata pengerusinya, Aminuddin Yahaya.

Soalnya lagi, apa yang dimaksudkan dengan sementara, adakah ia sebulan, dua bulan
ataupun setahun? “Kita sendiri tidak faham apa yang dimaksudkan dengan sementara, malah ia menimbulkan polemik selain tidak tahu niat tersirat di sebalik semua ini.”
Antara lain yang dituntut oleh PEMBELA berkenaan kes Allahyarham Muhammad Adib
termasuklah mendedahkan hasil siasatan kepada rakyat bagi membuktikan kesungguhan
dan menampakkan integriti pihak keselamatan, Peguam Negara meneruskan pendakwaan
jika pesalah dikenal pasti dan Majlis Keselamatan Negara mengambil perhatian serius
kerana ia melibatkan nyawa penjawat awam.

“Kami turut menuntut agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
menjalankan siasatan dan mengeluarkan kenyataan sokongan kerana melibatkan hak
seorang penjawat awam dan keluarganya.” PEMBELA juga menyeru kepada semua menteri dan wakil rakyat yang pernah mengadakan demonstrasi dan membuat desakan kepada kerajaan sebelum ini untuk memberikan keadilan sewajarnya dan tidak sesekali melupakan kes ini. “Kami menyeru semua pihak untuk menyokong tuntutan ini dan berjuang dalam mempertahankan keadilan kepada semua rakyat.” Sampai bila kes ini akan disepikan oleh kerajaan hari ini?

Jika PH yang memerintah ketika ini

Sewaktu Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, kes Adib ini sentiasa disensasikan oleh
parti-parti pembangkang ketika itu. Tetapi dalam isu kes ini ditutup, parti-parti ini yang sudah menjadi kerajaan hanya membisu tanpa kata. Begitu juga ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Dato’ Mahiaddin Md Yasin, yang mana anggota polis iaitu penjawat awam yang bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbunuh dilanggar pemandu mabuk.

Kenapa kes polis dibunuh tidak diratib hari-hari seperti kes Adib? Adakah sebab kes Adib
berlakunya pada zaman kerajaan PH, kes polis itu pula berlaku pada zaman kerajaan PN?
Sepatutnya, mereka yang menjadi menteri kini lebih rasa bertanggungjawab memperjuangkan isu tersebut. Namun, ia tidak seperti yang diharapkan. Suatu waktu dulu, menerusi sebuah portal rasmi sebuah parti bertarikh 20 Disember 2018 bertajuk ‘Kematian Adib: Menteri mesti tegas’, seorang naib presiden parti itu menyatakan,
menteri perlu mengeluarkan kenyataan tegas supaya pesalah yang bertanggungjawab atas kematian Adib, secepat mungkin didakwa dan dihukum.

Memetik kata-katanya lagi, menteri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sekadar
untuk melepaskan diri apabila rakyat meminta keadilan atas kematian Adib. “Menteri tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan mudah sebegitu kerana ia boleh menyinggung sensitiviti orang Melayu. Sepatutnya sebagai menteri perlu bercakap dengan memberi ketegasan dalam perkara ini supaya pesalah yang terlibat secepat mungkin
ditangkap. Jangan memberi pandangan yang hanya seolah-olah ingin melepaskan diri.”

Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan Menteri Pertanian, Industri dan Asas
Tani, Dato’ Salahuddin Ayub, Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dzulkefly Ahmad dan Menteri
Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P. Waytha Moorthy ketika itu yang meminta rakyat
menerima kematian Adib sebagai takdir dan menjaga perpaduan dan keamanan.
Menurutnya lagi, pemergian Adib satu ketentuan, akan tetapi keadilan perlu diberikan dan
tiada perkaitan dengan soal perpaduan. “Tidak boleh mengatakan bahawa ia boleh menggugat perpaduan kaum dan sebagainya. Kita hanya meminta keadilan. Perkara ini melibatkan nyawa penjawat awam yang meninggal sewaktu menjalankan tugasan,” jelasnya.

Beliau berharap pesalah mesti diberi hukuman setimpal dan jangan dibiarkan bebas kerana perbuatan samseng mereka tidak layak berada di negara ini yang sudah sekian lama aman dan harmoni. Tetapi lain pula kini, beliau yang juga menteri yang menjaga hal ehwal agama diam membisu tanpa kata terhadap kes Adib ini. Bersuara lantanglah wahai menteri untuk membela keadilan seperti dulu.

Bayangkan sekiranya waktu ini kerajaan PH yang berkuasa, boleh jadi pelbagai tudingan
yang akan dilempar seakan ingin nampak seperti ‘hero’, tetapi ‘zero’ ketika mempunyai
kuasa. Mungkin kata-kata Abu Ali al-Daqqaq dalam kitab al-Minhaj Syarah Sahih Muslim karangan Imam al-Nawawi boleh menjadi peringatan dan pengajaran buat kita:
“Barang siapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.”
Keadilan, kebenaran terus diperjuangkan

Muhammad Adib ialah salah seorang daripada sembilan orang responden terhadap rusuhan kedua di kawasan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada 27 November 2018, dan dilaporkan telah diserang ketika tiba di tempat kejadian rusuhan. Seterusnya ketika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melawat anggota bomba yang cedera tersebut, beliau dilaporkan telah mengatakan bahawa
Adib telah "dipukul dan dipijak.”

Pada mulanya Adib dibantu oleh beberapa orang penganut yang hadir di kuil tersebut dan
kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby (juga dikenali sebagai Pusat
Perubatan Subang Jaya) untuk mendapatkan rawatan. Beliau kemudian dipindahkan ke IJN kerana keadaan kesihatannya yang bertambah buruk. Pada 17 Disember 2018, Adib disahkan meninggal dunia jam 9.41 malam. Semoga keadilan dan kebenaran akan terus diperjuangkan dan ditegakkan tanpa mengira masa dan tempat, tanpa memilih bulu dan darjat, tanpa melihat musuh atau sahabat.

Atriza Umar
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia

2 Komen

  1. Seperti dimaklumkan, ini adalah kes bunuh, yang menjadi masalah nya pembunuh tidak dapat di jumpai. Ini lah masalah apabila rakyat sewenang-wenangnya bertindak tanpa lunas undang seperti dimana orang awam membelasah penjenah ragut sehingga mati di jalan raya.Sepatutnya undang-undang perlu memberi hukuman berat kepada sesiapa sahaja yang boleh mendatangkan kecederaan.baik pada diri sendiri mahupun orang lain.

  2. Geng keling yang serang dan rosakkan truck bomba sehingga seorang anggota bomba semput demi menghalang truck bomba daripada memadam api kebakaran pun masih kebal undang-undang kononnya belum cukup bukti. Yen na da tambi?

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here