Gambar hiasan

PADA 15 Oktober ini, pelajar lama dan baharu akan memulakan sesi akademik
2021/2022 secara berperingkat seperti yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi
(KPT) dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Rata-rata sesi
pendaftaran kemasukan para pelajar dibuat secara dalam talian. Batasan pergerakan dan
pematuhan SOP tidak lagi menjadi alasan kepada para pelajar untuk menangguh pengajian.

Ini kerana pelbagai kaedah dan medium disediakan bagi memastikan proses pengajian
diteruskan dan berjalan lancar. Dalam hal ini, adaptasi norma baharu dalam kalangan para pelajar dilihat semakin memberangsangkan dalam usaha memenuhi keperluan pengajian. Namun begitu, keterujaan memulakan sesi pengajian perlu dipandu dan diurus dengan betul agar proses pengajian berjalan lancar dan selesai dengan jayanya.

Peluang memasuki institusi pengajian tinggi perlu dihargai sebaiknya. Mahasiswa
bertanggungjawab memberi komitmen yang tinggi dalam sesi pembelajaran di dalam kelas. Segala tugasan yang diberi oleh para pensyarah perlu diambil tindakan dan diselesaikan mengikut ketetapan. Mahasiswa disarankan memanfaatkan semua kemudahan dan fasiliti universiti sepanjang tempoh pengajian. Misalnya, kerap kali mengunjungi perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan dan memanfaatkan aplikasi dalam talian yang disediakan bagi menyiapkan projek penyelidikan.

Universiti amat menitikberatkan pemerkasaan kualiti mahasiswa bagi persediaan ke alam
pekerjaan. Kualiti mahasiswa dinilai daripada pelbagai sudut termasuk pencapaian dalam
akademik dan kegiatan kokurikulum. Sebagai tambahan nilai, mahasiswa amat digalakkan menyertai aktiviti di luar kelas bagi meningkatkan kualiti diri dengan bergiat aktif menyertai program sukarelawan, kemasyarakatan, kelab atau persatuan. Penglibatan dalam kegiatan kokurikulum ini dapat membina pelbagai kemahiran dan kreativiti dalam kalangan mahasiswa.

Dalam menggalas amanah sebagai mahasiswa, adakalanya mereka terlepas pandang
perkara penting yang boleh menjejaskan proses pengajian. Setelah bergelar mahasiswa,
segala tindakan dan kelakuan harus selari dengan undang-undang, peraturan dan garis
panduan yang dikuatkuasakan oleh universiti masing-masing. Kesedaran terhadap undang-undang dan peraturan universiti perlu ditingkatkan agar prinsip integriti dan akauntabiliti dalam kalangan mahasiswa tidak dikesampingkan. Secara tidak langsung, mahasiswa yang berkelakuan baik dan betul bukan sahaja menjaga reputasi diri malah melindungi kepentingan universiti.

Dalam konteks ini, antara perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah tanggungjawab mahasiswa menjaga harta benda universiti dengan sebaik-baiknya supaya manfaatnya berpanjangan hingga dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang. Selain itu, mahasiswa seharusnya memainkan peranan penting dalam menjaga nama baik universiti masing-masing. Semua tindakan dan aktiviti para pelajar perlu seiring dengan
hasrat universiti agar proses pengajian berjalan dengan baik dan teratur.

Mahasiswa perlu sentiasa menghormati para pensyarah yang mendidik dan mencurahkan ilmu sama ada di dalam dan di luar kelas. Selain itu, mahasiswa juga perlu menghormati para pentadbir universiti termasuk pihak pengurusan tertinggi, para pegawai dan barisan staf pelaksana yang banyak membantu dalam melancarkan proses pengajian mereka. Justeru, adab dan tatasusila mahasiswa perlu sentiasa dijaga dalam usaha mewujudkan ekosistem pengajian yang sejahtera bagi memperolehi kejayaan dalam pengajian. Secara tidak langsung mahasiswa akan membina reputasi universiti yang lebih baik dan akhirnya melonjak kedudukan sesebuah universiti sama ada di peringkat tempatan mahupun dunia.

Kesimpulannya, aspek pengurusan pengajian perlu diambil perhatian yang serius dalam
kalangan para mahasiswa bagi membuahkan hasil yang berkualiti. Antara langkah yang
wajar dilakukan bagi membolehkan proses pengajian dapat diurus dengan baik ialah
dengan memastikan diri mahasiswa berada dalam kelompok rakan-rakan yang positif
(positive circle). Justeru, apabila proses pengajian diurus dengan bijak sudah pastinya
mahasiswa akan menamatkan pengajian dengan jayanya. Kejayaan ini akan membuka
ruang dan peluang yang baik bagi meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa setelah
bergraduasi nanti. Pekerjaan yang baik selanjutnya membawa kepada kehidupan yang
sejahtera untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Oleh: Hafizah Marzuki
Penulis merupakan staf Pengurusan & Profesional,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)