Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin melakukan aktiviti berbasikal bersama peserta yang lain sempena sambutan Hari Sukan Daerah Hulu Langat di Taman Mini Botani Bukit Indah, Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 09 OKTOBER 2021.

AMPANG – Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yakin sasaran yang antaranya melibatkan eksport komoditi, pekerja asing dan pencapaian pekebun kecil dalam tempoh 100 hari beliau menjadi menteri dapat dicapai lebih awal.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana sasaran eksport komoditi sebanyak RM180 bilion hampir dicapai tidak lama lagi.

“Ia memandangkan harga sawit minggu ini naik kepada RM5,000 setan jadi ia mempercepatkan lagi sasaran itu dicapai.

“Keduanya untuk memastikan pekerja-pekerja asing dapat dibawa masuk untuk bekerja di ladang. Pertengahan minggu ini kita sudah mula kemasukan pekerja asing.

“KPI (Petunjuk Prestasi Utama) ketiga adalah meningkatkan pencapaian pekebun-pekebun kecil di peringkat sawit dan juga pekebun getah yang juga nampak peningkatan kerana keadaan Covid-19 ini ada bleesing in disguise,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Sukan Negara peringat daerah Hulu Langat, di sini, hari ini.

Nilai eksport komoditi bagi negara kini mencecah RM160 bilion.

Pada Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta setiap kementerian di bawah kepimpinan beliau membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

Sasaran itu diletakkan Ismail Sabri bagi memastikan barisan menteri baharu yang diumumkan pada 27 Ogos lalu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media sempena sambutan Hari Sukan Daerah Hulu Langat di Taman Mini Botani Bukit Indah, Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 09 OKTOBER 2021.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, sasaran bagi nilai ringgit sudah dicapai namun pencapaian dari segi kuantiti kepada eksport komoditi sahaja yang masih belum dicapai setakat ini.

“Ia patut dicapai dan meningkatkan dengan lebih tinggi. Dari segi KPI kita yakin akan dapat dicapai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette