Muhammad Shakir kini bekerja serta mampu bergerak sendiri bagi menguruskan kehidupannya di Jelutong, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Tekad seorang lelaki bangkit semula selepas hilang upaya kekal akibat kemalangan 14 tahun lalu dan berjaya bekerja semula dan menguruskan diri tanpa mengharapkan pertolongan keluarga dikagumi.

Muhammad Shakir Mohamad Zakaria, 32, yang kehilangan upaya kekal selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika hendak ke tempat kerja di Jelutong di sini beberapa tahun lepas.

Jelasnya, ketika kejadian, dia baharu dua bulan bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta dan akibatnya dia lumpuh separuh badan dan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

Muhammad Shakir.

“Saya mengambil masa selama tiga tahun bagi memulihkan semangat untuk terus menjalani kehidupan dengan baik selepas kehilangan upaya sekelip mata.

“Memandangkan usia saya masih muda, saya ada keinginan dan keazaman mahu bekerja serta melakukan semua perkara sendiri tanpa mengharap pertolongan keluarga walaupun mereka tidak putus asa memberi semangat kepada saya.

“Berikutan pernah mencarum menerusi skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), ia membolehkan saya menerima bantuan dan kemudahan seperti faedah hilang upaya, perubatan dan kemudahan pemulihan jasmani,” katanya ketika pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Shakir menerima lawatan Pengurus Perkeso, Rafidah Abdul Rahim dan Ketua Jabatan Perubatan Rehabilitasi, Hospital Pulau Pinang Dr Zetty Noreeta Mohd Rozali di rumahnya di Kampung Makam, Jalan Dato Kramat di sini menerusi Program Ziarah Jelajah Prihatin sempena Sambutan Hari Perkeso 2021 Jubli Emas 50 tahun.

Muhammad Shakir kini bekerja serta mampu bergerak sendiri bagi menguruskan kehidupannya.
Muhammad Shakir (kiri) menerima kunjungan pihak Perkeso George Town di rumahnya.

Selain menyerahkan sumbangan, lawatan itu dilakukan bagi melihat perkembangan Orang Berinsurans (OB) yang berjaya kembali dan kekal bekerja hingga sekarang selepas mengikuti Program RTW diadakan dengan kerjasama pihak majikan dan HPP.

Tambah Muhammad Shakir, dia kini berkhidmat sebagai kerani di syarikat perbadanan dan bergerak sepenuhnya menggunakan kerusi roda serta menguruskan diri sendiri termasuk memandu dan berurusan di pejabat.

“Memandangkan saya merupakan peserta Program Return To Work (RTW) Perkeso turut memberi sumbangan alat pemulihan kerusi roda jenis ultra light weight  dan manual standing yang masing-masing berharga RM17,000 dan membantu kelancaran pergerakan saya di tempat kerja.

“Kejadian itu memang membuka mata orang ramai terutama kenalan mengenai faedah jika mencarum menerusi skim Perkeso, termasuk bagi yang bekerja sendiri,” katanya.

Sementara itu, Rafidah berkata, Muhammad Shakir adalah contoh terbaik OB yang bangkit semula dengan menerima manfaat caruman Perkeso selepas kehilangan upaya akibat kemalangan ketika ke tempat kerja.

Rafidah.

“Perkembangan pemulihannya dipantau pakar dan Perkeso juga turut membantu dari segi pengurusan, perancangan dan pemantauan kes.

“Meskipun mencarum dengan jumlah yang kecil namun dia dilindungi di bawah skim Perkeso dengan faedah mencecah puluhan ribu ringgit termasuk pembekalan alat pemulihan,” kata Rafidah. – MalaysiaGazette