Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad. Foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2021.

PUCHONG – Pas tidak akan memberi laluan mudah kepada Pakatan Harapan (PH) untuk kembali menjadi kerajaan negeri sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak dapat dielakkan.

Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, pihaknya konsisten bersama kerajaan memerintah dan mahu PRN Melaka dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Apa pun gerakan taktikal dan sebagainya, kita nak pastikan PH tidak kembali untuk memerintah di Melaka. Itu kita punya pendirian jelas.

“Apa kita nak bincang dan sebagainya sama ada dari segi gabungan dan perbincangan nak pastikan tentang matlamat kita, itu yang kita harapkan berlaku.

“Kalau terjadi pilihan raya, mungkin SOP-SOP akan diperkenalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kita akan patuh,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pulau Meranti hari ini.

Pada Isnin lalu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Antaranya ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN, terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua Bersatu dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua PKR dan dua Amanah. – MalaysiaGazette