Tangkap layar menunjukkan sebuah kenderaan meneruskan perjalanan selepas melanggar seorang penghantar makanan di Jalan Ampang- Tambun, Perak semalam.

IPOH – Polis Perak membuka kertas siasatan berhubung satu kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan motosikal penghantar makanan di Jalan Ampang-Tambun berhadapan Balai Polis Tambun di sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi itu turut tular di media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemandu SUV berusia 48 tahun itu sudah tampil membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lelaki berkenaan mengubah haluan dari kanan ke kiri jalan, sebelum menghimpit serta melanggar motosikal yang ditunggang penghantar makanan tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa berusia 34 tahun terjatuh dan mengalami kecederaan ringan pada lutut serta siku.

“Pemandu SUV itu pula tidak memberhentikan kenderaan sejurus insiden berkenaan dan meneruskan perjalanan sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh didenda di antara RM5,000 hingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi 12 bulan bagi sabitan pertama; atau denda RM10,000 hingga RM15,000, dan penjara tidak melebihi 12 bulan, serta hilang kelayakan lesen memandu bagi sabitan seterusnya,” ujar beliau.

Sejak semalam tular satu rakaman video berdurasi 38 saat menunjukkan sebuah SUV melarikan diri sebaik melanggar seorang penghantar makanan. – MalaysiaGazette