Tangkap layar menunjukkan suspek menggunakan jengkaut melanggar kenderaan Ford milik mangsa.

TELUK INTAN – Polis menahan tiga lelaki membantu siasatan berhubung ugutan jenayah dan khianat terhadap dua beranak di sebuah kebun sawit berhampiran Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Labu Kubong di sini pada Rabu lalu.

Ketiga-tiga lelaki berusia 28 hingga 47 tahun itu ditahan pada jam 4.05 semalam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa berusia 24 tahun yang mengorek jalan untuk dijadikan parit.

Kata beliau, mangsa telah memaklumkan parit dibuat dalam kawasan kebun pisangnya seluas 1.8 hektar itu untuk dijadikan saliran berikutan tanah itu telah dinaiki air.

“Semasa mangsa dan bapanya tiba di kebun mereka dapati laluan yang digali pada sebelah pagi telah ditimbus oleh suspek dan beberapa individu lain.

“Mangsa menjelaskan kepada suspek tujuan laluan itu digali dan akan meletakkan culvert dalam masa beberapa hari namun suspek tidak berpuas hati sehingga berlaku pertengkaran mulut sebelum dia menampar leher mangsa.

“Jengkaut yang digunakan suspek telah melanggar pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik mangsa sekali gus menyebabkan kenderaan itu mengalami kerosakan sebelum suspek turun dan mengejar bapa mangsa dengan memegang tukul besi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lokasi kejadian merupakan laluan utama bagi pekebun-pekebun kelapa sawit di kawasan berhampiran dan ia menyukarkan pekebun sawit yang lain kerana terpaksa menggunakan laluan jauh untuk pergi kebun mereka.

Tambah Ahmad Adnan, permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek akan dipohon hari ini di Mahkamah Majistret Teluk Intan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, 427 dan 506 akta yang sama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette