Gambar hiasan

SEBUAH negara maju bukan hanya bergantung pada kemajuan yang dicapai namun turut melibatkan rakyatnya di negara tersebut.

Sejak beberapa tahun lalu, terdapat peningkatan secara beransur-ansur dalam jumlah kes masalah kesihatan mental yang dilaporkan di negara ini termasuk kes bunuh diri yang melonjak pada 2020 dan tahun ini ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.

Malah, pandemik itu memberi kesan secara langsung dan tidak langsung terhadap setiap individu.

Isu seperti syarikat mengurangkan operasinya, pemotongan gaji, kehilangan pekerjaan, kerja dari rumah memberi banyak tekanan kepada rakyat.

Kita mempunyai bukti statistik jumlah kes keganasan rumah tangga dan penceraian semakin meningkat.

Semua ini berpunca daripada tekanan mental dihadapi rakyat yang merupakan sebahagian kehidupan yang tidak dapat dikawal.

Persoalannya apa akan berlaku kemudian? Bagaimana rakyat mengendalikan situasi ini? Apa jenis bantuan yang ditawarkan kepada mereka?

Apabila melibatkan isu kesihatan mental, kita mengakui masih terdapat kekurangan.

Kita mempunyai banyak NGO di Malaysia yang memerlukan bantuan ketika mereka cuba sedaya upaya untuk membantu seberapa ramai orang namun pembiayaan dan bilangan kakitangan terlatih yang terhad di lapangan menjadi kekangan.

Sebahagian besar NGO menguruskan organisasi itu bersama sukarelawan dan memandangkan mereka tidak memegang jawatan, jadi masa dan sumbangan mereka adalah terhad.

Pembiayaan menjadi salah satu kekangan utama kepada NGO sehingga mereka tidak dapat menggaji kaunselor untuk membantu menguruskan lonjakan kes semasa.

Pertolongan cemas kesihatan mental boleh diakses dengan membuat panggilan telefon, namun disebabkan kekurangan kakitangan, hanya sejumlah kecil panggilan dilayan kerana banyak masa dihabiskan untuk mendengar, menasihat dan membantu menangani situasi dihadapi mereka.

Kita perlu sedar satu panggilan yang tidak terjawab boleh menyumbang kepada jumlah kes kematian di negara ini.

Masalah semasa yang boleh dilihat ketika ini adalah seperti kemurungan, kegelisahan, tekanan serius, gangguan tekanan pasca trauma sehingga ke skizofrenia, gangguan bipolar dan banyak lagi.

Satu kajian dijalankan pada 2015 menunjukkan seorang daripada setiap 10 individu mengalami gangguan kesihatan mental di Malaysia.

Jumlah itu melibatkan anggaran 29 peratus dalam kalangan orang dewasa dan 12 peratus golongan kanak-kanak.

Tinjauan Morbiditi Kebangsaan pada 2015 menganggarkan kes kesihatan mental menyumbang sebanyak 8.6 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dilaporkan.

Di Amerika Syarikat (AS), pada tahun lalu, lebih 40 juta orang dilaporkan mengalami kemurungan dan kegelisahan.

Jumlah itu menyumbang sebanyak 18 peratus daripada populasi AS.

Peningkatan kes kesihatan mental serta kekurangan pakar dan kaunselor dalam bidang ini menjadi cabaran besar bagi negara.

Rakyat perlu sedar akan situasi mereka, mempunyai kesedaran diri dan mendapatkan bantuan dari pakar.

Kami menggesa lebih banyak dana disalurkan ke program latihan bagi melahirkan individu yang lebih cekap dalam menangani masalah kesihatan mental.

Lebih banyak peraturan perlu dilaksanakan bagi memastikan tempat kerja yang selamat dan bebas daripada tekanan disediakan kepada semua pekerja.

Majikan juga harus menangani kes buli di tempat kerja.

Pihak berkuasa juga perlu menganggap kes keganasan rumah tangga sebagai kesalahan yang serius.

Kempen kesedaran harus diadakan secara besar-besaran untuk mendidik masyarakat mengenai mengenal pasti kes dan cara-cara menangani individu yang mengalami masalah kesihatan mental.

Golongan masyarakat itu terdiri daripada majikan, rakan sekerja, ahli keluarga, rakan dan jiran.

Tindakan mengenal pasti dan pertolongan cemas kesihatan mental merupakan langkah awal dan penting dalam mencegah sebarang kejadian negatif.

Ia boleh dilakukan antara rakan sebaya.

Mengekalkan hubungan rapat dengan rakan-rakan serta berkomunikasi secara lebih kerap dapat membawa perubahan besar.

Kita merupakan sebahagian komuniti ini dan usaha mendidik akan membawa perubahan besar dalam masyarakat. – MalaysiaGazette

Dr Harry Dinesh Mahalingam

Pakar Kesihatan Awam dan Kesihatan Pekerjaan, Ketua Pegawai Eksekutif SP Care Group dan Pengerusi Perubatan – Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia.