Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya membatalkan penambahan cabutan nombor ramalan daripada lapan kepada 22 kali setahun pada tahun ini.

Ahli Parlimen (Pas-Pasir Mas), Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana ia tidak memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Katanya, kerajaan seharusnya tidak bertindak untuk memaksa ahli kerajaan seperti Pas untuk membuat ugutan kepada kerajaan yang mempunyai majoriti kecil.

“Ini beri isyarat tidak baik, berapa banyak sangat wang yang dapat disalurkan kepada Wang Disatukan yang akhirnya mengundang ketidakberkatan di dalam perbelanjaan negara.

“Saya harap jangan memaksa kita ahli kerajaan memaksa membuat ugutan dalam (kerajaan) majoriti yang kecil,” katanya yang juga Naib Ketua Pemuda Pas.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadhli meminta kerajaan mengumumkan peruntukan segera bagi membantu institusi sekolah tahfiz yang menghadapi masalah kewangan serius dan mungkin ditutup kerana kekurangan dana.

Ahmad Fadhli berkata, beliau melihat banyak sekolah tahfiz yang menderita dan tidak mampu meneruskan operasi kerana tekanan kewangan akibat pandemik Covid-19.

Justeru, beliau mendesak kerajaan segera membuat pengumuman bantuan one-off kepada sekolah tahfiz yang kebanyakannya sudah gulung tikar. – MalaysiaGazette