Impiana Sky Residensi Bukit Jalil,

KUALA LUMPUR – Penyerahan kediaman Impiana Sky Residensi Bukit Jalil, di bawah Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) yang diperkenalkan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 akan dilakukan esok, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Menurut beliau, projek Pangsapuri Impiana Sky Residensi ini telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 10 September 2021 yang mana notis Pemilikan Kosong telah dikeluarkan bermula 24 September 2021.

”Penyerahan kunci dengan temu janji mula dilaksanakan mulai 12 Oktober 2021 dan penyerahan kunci dijangka selesai sepenuhnya kepada semua pemilik pada 30 November 2021,” katanya selepas meninjau Projek Impiana Sky Residensi Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan merasmikan surau di pangsapuri tersebut.

Reezal Merican Naina Merican menandatangani plak sebagai simbolik perasmian surau di projek perumahan Impiana Sky Residensi Bukit Jalil, hari ini.

Projek ini merupakan salah satu daripada 121 buah projek MyHome bagi membantu Keluarga Malaysia memiliki kediaman pertama dengan insentif sebanyak RM30,000 seunit.

Ia mempunyai 508 unit pangsapuri berkeluasan 850 kaki persegi seunit dengan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Kemudahan-kemudahan guna sama yang disediakan termasuklah podium tempat letak kereta berbumbung, dewan serbaguna, tadika, surau, pejabat pengurusan, ruang kedai, taman permainan kanak-kanak dan rumah pengawal serta pelbagai kemudahan lain.

Melalui subsidi RM30,000 yang diberikan oleh kerajaan melalui MyHome, kediaman ini dapat dimiliki oleh pembeli rumah pertama yang layak pada harga belian RM270,000 seunit iaitu di bawah harga pasaran.

Menurutnya, pembeli juga tidak perlu membayar deposit 10% daripada harga rumah kerana ia telah dimasukkan dalam insentif subsidi RM30,000 tersebut.

Reezal berkata, kementerian itu terus memfokuskan kepada matlamat menyediakan perumahan yang selesa untuk Keluarga Malaysia yang merupakan agenda utama KPKT dalam merealisasikan matlamat Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) melalui gagasan Malaysia Berdaya Huni, selari dengan aspirasi dan keprihatinan kerajaan dalam mewujudkan perumahan yang selesa dan mampu milik untuk rakyat.

Sehingga 31 Ogos 2021, sebanyak 9,420 unit rumah di bawah Skim MyHome telah dibina di seluruh Malaysia dengan 7,248 orang pembeli telah menerima manfaat insentif MyHome ini. – MalaysiaGazette