KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Bhd (PLUS) akan menutup kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) di KM274.6 di Lebuhraya Utara-Selatan untuk tempoh 14 bulan bagi kerja-kerja menaik taraf yang akan melibatkan keseluruhan premis bermula 13 Oktober 2021 sehingga 31 Disember 2022.

Sepanjang tempoh penambahbaikan ini, semua outlet F&B dan kemudahan awam sedia ada di R&R akan ditutup.

Walau bagaimanapun, stesen minyak masih beroperasi seperti biasa dan PLUS turut menyediakan kemudahan sementara seperti tandas awam, surau, tempat
letak kereta termasuk trak makanan kepada semua pelanggan lebuh raya.

Sementara itu, pelanggan lebuh raya yang menuju ke selatan boleh menggunakan R&R Dengkil, Hentian Sebelah Nilai, Hentian Sebelah Senawang, Restoran Jejantas Ayer Keroh, R&R Ayer Keroh atau mana-mana R&R dan hentian sebelah yang berdekatan untuk mendapatkan kemudahan makanan dan keperluan lain dengan lebih selesa.

Pelanggan lebuh raya juga boleh menggunakan kemudahan tandas awam dan surau di mana-mana plaza tol yang terdekat. – MalaysiaGazette