Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) diingatkan supaya menyediakan perkhidmatan yang sama terutama kepada pengguna-pengguna di luar bandar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau telah membuat semakan secara rambang dan mendapati terdapat syarikat perkhidmatan tersebut tidak memberi perkhidmatan sebagai mana yang diuar-uarkan.

Katanya, apa yang berlaku merupakan satu keadaan yang tidak adil kepada pengguna dan mereka seharusnya tidak terlalu menumpu kepada keuntungan semata-mata.

“Saya ingin memberikan peringatan kepada syarikat-syarikat telco untuk memberikan kerjasama dan memastikan mereka memberikan perkhidmatan yang lebih baik bukan sahaja di bandar tetapi juga di luar bandar.

“Syarikat telco jangan tumpu kepada keuntungan sahaja tetapi perlu mengembalikan kenuntungan itu kepada pengguna di luar bandar,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (GPS-Igan), Johnie Zawawi pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Johnie ingin tahu sama ada kerajaan akan memastikan telco menaik taraf perkhidmatan berikutan terdapat masalah capaian internet terutama di kawasan pedalaman Sarawak.

Menurut Annuar lagi, Sarawak merupakan sebuah negeri yang unik kerana di bahawa program Jalinan Digital Negara (JENDELA) ia mempunyai proses yang sedikit berbeza.

Katanya, terdapat rundingan dengan beberapa telco berhubung kait alat-alat pemancar di beberapa kawasan.

Ujarnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sedia membantu bagi tujuan itu dan di bawah program JENDELA ada syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat penyedia perkhidmatan terbabit. – MalaysiaGazette