Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.Foto AFFAN FAUZI, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Kontinjen Selangor mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kes ugutan jenayah melibatkan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden Polis (DSP) yang kini sedang tular di media sosial.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa dalam kejadian terbabit merupakan seorang wanita berusia 36 tahun yang mendakwa telah diugut dan dicederakan kerana ingin meminta semula wang yang dipinjamkan kepada pegawai kanan tersebut.

“Hasil daripada siasatan yang dijalankan, polis telah menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Arjunaidi berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan berhenti menyebarkannya di mana-mana media sosial kerana ia masih dalam siasatan polis.

Menurut beliau, Polis Kontinjen Selangor memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus dan terperinci serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang didapati melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang. – MalaysiaGazette