Anggota JPJ Negeri Selangor membuat pemeriksaan ke atas motosikal penghantar barangan dan makanan (P-Hailing) dalam Ops Merah di Lorong Motosikal Seri Setia, Lebuhraya Persekutuan. Foto FAREEZ FADZIL, 12 OKTOBER 2021.

PETALING JAYA – Tidak mempunyai lesen memandu dan melanggar lampu isyarat merah merupakan antara kesalahan tertinggi yang dicatatkan oleh Jabatan Pengangkutan (JPJ) Selangor sepanjang operasi khas penguatkuasaan (Op Merah) ke atas penunggang motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing.

Op Merah yang bermula pada Jumaat lalu sehingga 7 November depan itu dijalankan susulan aduan awam yang diterima menerusi pelbagai saluran membabitkan para penunggang p-hailing.

Pengarah JPJ negeri, Nazli Md. Taib berkata, sebanyak 959 motosikal p-hailing diperiksa sepanjang operasi penguatkuasaan tersebut dijalankan bermula Jumaat lalu sehingga hari ini.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 321 kesalahan dikesan membabitkan 77 kes tidak mematuhi lampu isyarat, 97 kes tidak mempunyai lesen memandu, 51 kes tidak mempunyai perlindungan insurans kenderaan, 30 kes lain-lain kesalahan, lapan kes ubah suai motosikal serta masing-masing dua kes melibatkan langgar isyarat lalu lintas jalan sehala dan tiada cermin sisi.

“Untuk operasi hari ini sahaja sebanyak 81 buah motosikal p-hailing diperiksa dengan 27 daripadanya dikenakan tindakan.

“Berdasarkan operasi yang dijalankan, kita kesan ramai penunggang yang tidak mempunyai lesen dan ini menjadi tanda tanya bagaimana syarikat penyedia servis perkhidmatan ini boleh membenarkan penunggang untuk menghantar barangan sedangkan mereka tidak mempuntai lesen, ini yang kita akan siasatan lebih lanjut.

“Selain itu, ada juga penunggang p-hailing yang didapati tidak memakai topi keledar,” katanya menerusi sidang media selepas operasi penguatkuasaan Op Merah yang dijalankan di lorong motosikal Seri Setia, Lebuh Raya Persekutuan di sini hari ini.

Pengarah JPJ Negeri Selangor, Nazli Md. Taib (kiri) membuat pemeriksaan ke atas motosikal penghantar barangan dan makanan (P-Hailing) dalam Ops Merah di Lorong Motosikal Seri Setia, Lebuhraya Persekutuan. Foto FAREEZ FADZIL, 12 OKTOBER 2021.

Menerusi operasi yang dijalankan bermula pada pukul 9 sehingga 12.30 tengah hari itu, seramai 45 pegawai dan anggota JPJ terlibat bersama enam anggota polis trafik.

Ujar Nazli, selain menjalankan operasi penguatkuasaan, Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ turut melaksanakan program advokasi kepada penunggang p-hailing bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dan pemanduan berhemah.

Dalam pada perkembangan lain, Nazli turut mengesyorkan kepada syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing untuk membekalkan vest keselamatan kepada para penunggang motosikal.

“Selain daripada membekalkan penunggang dengan kotak menghantar barangan, syarikat pengendali servis juga harus menyediakan vest keselamatan untuk mereka secara percuma kerana mereka ini lah yang membantu syarikat untuk buat jualan dan sebagainya tetapi dari tahap keselamatan tidak dititik beratkan.

“Sehubungan itu saya menyeru kepada semua penyedia servis p-hailing ini untuk bekalkan ves keselamatan kepada penunggang mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nazli berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, sejumlah 88 kes kemalangan membabitkan penunggang p-hailing di catatkan di negeri ini sehingga Ogos lalu.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 11 kematian dicatatkan manakala 12 kes lagi membabitkan kecederaan parah dan 65 kes cedera ringan,” katanya.

Terdahulu, antara lokasi-lokasi yang terbabit dalam Op Merah termasuk lah Plaza Tol PJS (Sunway); Seksyen 7, Shah Alam; persimpangan lampu isyarat Hicom; Persiaran Puchong Prima; Terminal Klang; Plaza Tol Kemuning dan Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang.- Malaysiagazette