Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – “UMNO tak perlu buah busuk kerana belum sampai masak ranum pun, ia akan gugur sendiri.”

Itu analogi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada ahli parti yang menjatuhkan kerajaan mereka sendiri di Melaka.

Tidak menyebut nama namun sudah pasti ia merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan.

“Saya fikir tentu beliau ada alasan melakukannya. Realitinya beliau bukan lagi ahli UMNO sekarang kerana ikut perlembagaan (parti) mana-mana ahli, ADUN dan ahli parlimen yang menjatuhkan kerajaan sendiri akan tergugur sendiri (dari parti),” katanya semasa menjadi tetamu live Nadi Rakyat malam tadi.

Ahmad Zahid juga menegaskan perlu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan selepas pembubaran DUN dan agensi kerajaan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dilihat selari dengan keutamaan demokrasi.

Cuma, katanya, pendekatan baharu dengan tidak memudaratkan kesihatan rakyat dalam pandemik Covid-19 seterusnya menjadi penentu kepada usaha melakukan PRU-15 kelak.

Ditanya sama ada UMNO akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRN Melaka, Ahmad Zahid menegaskan beliau menghormati keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 supaya tidak ada kerjasama dengan parti berkenaan dalam pilihan raya.

“Saya hormati keputusan PAU 2020 yang sudah bagi ketetapan dan saya sebagai presiden hormat,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku di Melaka disebabkan ada pihak mahu mencapai cita-cita dan idealismenya sendiri.

“Saya tak mahu sentuh peribadi, kita lihat apa yang berlaku di Melaka adalah satu pendekatan bagi melaksanakan cita-cita dan idelaisme seseorang dan ketidaksukaannya kepada orang lain,” jelasnya.

Mengenai Muafakat Nasional (MN) bersama Pas, Ahmad Zahid menggambarkan kemungkinan hubungan mereka sudah terputus.

“Saya tak kecewa sebagai ahli politik, kita harus tahu berkongsi hidup harus saling percaya mempercayai bukan khianat. Cukuplah pengkhianatan dilakukan sekali kalau berulang kali, UMNO harus menilainya semula,” katanya.

Mengenai calon UMNO pada PRU-15, beliau berjanji akan melakukan proses pemilihan tidak berdasarkan konsep balas dendam.

Menurutnya, sekiranya calon itu ada tiga kriteria iaitu boleh menang, boleh diterima dan disukai ramai individu itu wajar dipilih.

“Jika ada tiga kriteria itu parti akan pilih. Saya sebut dalam MT (Majlis Tertinggi), saya tak akan guna pentas untuk tandatangani watikah calon untuk balas dendam.

“Saya beri jaminan pada MT dan sahkan lagi hari ini. Saya akan duduk dengan Datuk Seri Mohamad Hassan selaku timbalan dan Pengarah PRU serta ketua war room dan duduk bersama Perdana Menteri (Datuk Seri ISmail Sabri Yaakob) tentukan calon.

“Jangan khuatir, jangan takut, insya-Allah walaupun saya dikhianati, difitnah tapi saya ada pegangan saya,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast