Sebahagian daripada pelacur yang kantoi ketika serbuan dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Foto: Ihsan JIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 16 wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran menerusi dua serbuan berasingan pada 6 dan 7 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua mereka yang mana 14 daripadanya merupakan wanita warga asing dan dua lagi warga tempatan dicekup dalam serbuan di kawasan Nilai, Negeri Sembilan dan Cheras, Kuala Lumpur.

Katanya, serbuan pertama dibuat di sebuah hotel bajet di Nilai yang menjalankan kegiatan pelacuran membabitkan warga asing.

“Hasil risikan mendapati premis ini dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing dengan menggunakan pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan dengan ‘flat rate’ RM180 bagi satu langganan.

“Pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan terlebih dahulu melalui aplikasi ‘WeChat’ dan ‘Telegram’.

“Hasil pemeriksaan di premis tersebut, pegawai operasi telah berjaya menahan seramai lima orang wanita warga asing yang terdiri daripada tiga orang wanita warganegara Thailand dan dua wanita warganegara Indonesia yang disyaki melakukan akitiviti pelacuran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, turut ditahan seorang lelaki warganegara Indonesia yang merupakan pelanggan di premis semasa diserbu.

Semakan awal mendapati segelintir wanita warganegara asing yang ditahan juga mempunyai kes dadah dan masih dalam proses perbicaraan mahkamah, katanya.

Sementara itu, dalam serbuan kedua di sebuah hotel tiga bintang di Cheras, Kuala Lumpur katanya, pergerakan serbuan agak mencabar kerana premis terbabit dikawal selia melalui CCTV dan ‘tonto’ yang akan bertindak pantas menghentikan aktiviti serta menutup premis jika dapat mengesan sebarang pergerakan yang mencurigai dari pihak berkuasa.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menahan seramai lapan orang wanita warga asing yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran dan dua orang lelaki warga tempatan yang merupakan penjaga wanita-wanita ini.

Sebahagian daripada pelacur yang kantoi ketika serbuan dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Foto: Ihsan JIM

“Lapan wanita warga asing ini terdiri daripada empat warganegara Indonesia, dua warganegara Thailand dan dua warganegara Vietnam.

“Bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa, sindiket pelacuran mendaftarkan bilik-bilik di hotel ini menggunakan nama warga tempatan dan hanya menerima pelanggan yang telah membuat tempahan melalui urusan ‘Wechat’ dan ‘Telegram,” ujarnya.

Tambah beliau, perkhidmatan seks ditawarkan dengan harga dari RM180 bagi tempoh masa 45 minit dan RM1,800 bagi langganan tempoh masa 24 jam atau sehari.

Jelasnya, bayaran perlu dibuat secara atas talian dan selepas itu pelanggan diberikan nombor bilik wanita yang telah ditempah sebelum hadir ke hotel tersebut.

Tegasnya, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.

“Rentetan daripada serbuan di dua lokasi ini, JIM telah mengesan dan mengenalpasti beberapa lokasi premis yang merupakan rangkaian sindiket aktif menjalankan aktiviti pelacuran.

“Operasi penguatkuasaan dan tindakan susulan akan dijalankan bagi membanteras aktiviti tidak bermoral yang boleh mencemari proses PPN,” kata beliau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here