Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

SIBU – Seorang jurujual lelaki berusia lewat 40-an kerugian RM54,800 selepas ditipu dalam pelaburan yang ditawarkan secara dalam talian melalui laman Facebook, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Maria Rasid hari ini.

Beliau berkata, menurut laporan polis yang dibuat di sini semalam, mangsa pada mulanya tertarik dengan satu tawaran pelaburan oleh sebuah laman di Facebook dikenali sebagai HappyBuy003 pada 24 Ogos lepas dan meninggalkan mesej dalam laman tersebut untuk menyatakan minatnya terhadap pelaburan itu.

“Pada 26 Ogos lepas mangsa telah terima mesej melalui WhatsApp daripada nombor telefon 011-28485246 dan (penghantar mesej) memperkenalkan dirinya sebagai Jason yang menawarkan mangsa untuk melabur dalam aplikasi HappyBuy,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mangsa kemudian telah menerima pautan http://app.shopnew5.me/hhbm daripada suspek untuk tujuan pelaburan itu dan selepas diklik, mendapati ia seperti akaun Shopee sebelum memuat turun aplikasi tersebut.

“Mangsa telah dijanjikan pulangan sebanyak 10 peratus keuntungan daripada jumlah wang yang dilaburkan,” katanya.

Terpedaya dengan tawaran pulangan itu, mangsa kemudiannya membuat 26 transaksi keseluruhan berjumlah RM54,800 ke tiga akaun bank atas nama syarikat yang berbeza antara 28 Ogos dan 1 Oktober.

Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila bukan sahaja tidak mendapat apa-apa hasil daripada pelaburan yang dibuat bahkan tidak dapat mengeluarkan wang hasil keuntungan pelaburan yang dibuat.

“Beliau hanya mampu melihat aliran wang keluar masuk ke dalam akaun HappyBuy beliau sahaja,” kata Maria yang menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan peluang pelaburan yang ditawarkan dalam platform media sosial.

Maria berkata, setiap pelaburan hendaklah dibuat melalui individu atau entiti yang dilesenkan atau berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Bernama