Foto: Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Guna kenderaan mewah untuk menyamun.

Itu taktik yang digunakan seorang lelaki setiap kali melakukan aktiviti samun.

Suspek menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire untuk membuat beberapa siri samun di sekitar daerah Gombak, Kajang dan Cheras.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata, taktik licik suspek yang telah melakukan lebih enam aktiviti samun dan jenayah lain berjaya dipatahkan menerusi tangkapan di satu kawasan di Kajang pada 9 Oktober lepas.

Beliau berkata, suspek akan melakukan samun berseorangan ke atas mangsa-mangsanya di tepi jalan dan juga premis kedai atau hotel dengan bersenjatakan sebilah pisau dan sebatang rotan.

Dia kemudiannya akan melarikan diri dengan menaiki kenderaan mewah tersebut.

Katanya, suspek juga telah melakukan jenayah sama di sekitar Selayang dan turut mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

“Kes disiasat di bawah seksyen 392/397 kanun keseksaan iaitu kesalahan rompak bersenjata dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga empat belas tahun dan boleh dikenakan sebatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujarnya, dengan tertangkapnya suspek beliau percaya beberapa siri kes samun berjaya diselesaikan.

Katanya, sebarang maklumat dari orang awam berhubung kes tersebut boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim di talian nombor 016-9537372 atau 03-61262222. – MalaysiaGazette