KUALA LUMPUR – Keyakinan pelabur terhadap peraturan dan penjawat awam terhadap sistem pentadbiran negara menjadi antara asas yang diketengahkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menghuraikan Agenda Malaysia Biru.
Presiden UMNO itu berkata, keyakinan tersebut hanya dapat dipertahankan sekiranya institusi negara tidak dipengaruhi atau dijadikan alat untuk kepentingan politik.
“Pelabur percaya kepada peraturan. Penjawat awam percaya kepada sistem dan tidak dihantui dengan ugutan.
“Dan siapa pun yang menjadi kerajaan, institusi negara tidak boleh dijadikan alat demi kepentingan politik,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, prinsip itu merupakan antara ikhtiar di bawah Agenda Malaysia Biru bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang berteraskan amanah.
Menurutnya, agenda berkenaan turut menyasarkan Malaysia berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dari segi integriti, tadbir urus dan kedaulatan undang-undang.
“Kita mahu kedaulatan undang-undang, bukan undang-undang yang digunakan mengikut kepentingan. Tadbir urus yang baik bukan sekadar teriakan dalam manifesto.
“Sebaliknya ia adalah kepercayaan bahawa kuasa digunakan untuk amanah dan bukan ruang untuk melakukan penindasan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kepercayaan terhadap peraturan, sistem dan institusi negara perlu menjadi ukuran kepada pentadbiran yang baik, bukan sekadar janji yang terkandung dalam manifesto politik.
Beliau menegaskan, siapa sahaja yang membentuk kerajaan, institusi negara perlu kekal berfungsi berdasarkan peraturan dan amanah, bukannya kepentingan politik. -MalaysiaGazette















