KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai meyakinkan dan memberi gambaran bahawa penyatuan umat Islam mampu direalisasikan.
Menurutnya, beliau yakin usaha penyatuan umat Islam akan berjaya dan PAS kini sedang membuat persediaan ke arah tersebut.
“Ucapan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan ucapan yang amat meyakinkan bahawa penyatuan umat Islam akan berjaya, insya-Allah dan kita sedang bersedia untuk ke Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.
Mengulas kehadiran PAS pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini, Nik Mohamad Abduh berkata, pihaknya yakin kehadiran itu turut diterima baik oleh UMNO.
Katanya, PAS juga sebelum ini menghargai kehadiran pemimpin UMNO pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan.
“Sebagaimana kita amat berterima kasih kepada kehadiran UMNO di Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan baru-baru ini, kita yakin bahawa UMNO juga gembira kita hadir ke sini,” katanya. – MalaysiaGazette















